PETALING JAYA – Seorang wanita mendakwa hampir menjadi mangsa pukau selepas didatangi seorang individu tidak dikenali di kawasan bangunan kedai di Setia Alam, baru-baru ini.
Perkara itu dikongsikan menerusi satu hantaran di Threads oleh pengguna dikenali sebagai putri.nouha yang memaklumkan dirinya sempat mengunci pintu kereta sebelum individu terbabit datang menghampirinya.
“I (saya) hampir dipukau, nasib baik sempat lock (kunci) pintu. Yang kawasan Setia Alam hati-hati ya, nampak perempuan ini terus kunci pintu cepat-cepat,” tulisnya.
Perkongsian itu turut disertakan dengan rakaman video memaparkan kelibat seorang wanita berdiri betul-betul di hadapan pintu kereta selain matanya dilihat melilau seolah-olah sedang memerhatikan kawasan sekeliling.
Rakaman tersebut kemudiannya tular di media sosial dan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk sekitar yang meminta orang ramai supaya lebih berwaspada.
Beberapa pengguna media sosial turut berkongsi pengalaman hampir sama dan menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya membuka pintu kepada individu tidak dikenali.
“Sekarang macam-macam modus operandi, lebih baik tengok dulu melalui kamera atau tingkap sebelum buka pintu,” komen Syafiqah.
“Dia pukau maca mana tu,” soal @apit_8.
“Dia memerhati sekeliling macam tunggu kawan dia keluar je, mungkin dia dah rancang awal nak target mangsa,” kata @finchbenso. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














