fbpx
JEMAAH haji Malaysia menggunakan payung dan topi bagi mengurangkan kesan cuaca panas melebihi 40 darjah Celsius di Mekah semalam.

Cuaca panas di Tanah Suci, jemaah hadkan aktiviti luar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEKAH – Cuaca panas mula dirasai di Tanah Suci apabila suhu pada waktu tengah hari mence­cah lebih 40 darjah Celsius menjelang kemuncak musim haji yang berbaki kira-kira 10 hari lagi.

Keadaan itu menyebabkan kebanyakan jemaah mula mengehadkan aktiviti luar terutama antara pukul 11 pagi hingga 4 petang bagi mengelakkan risiko kesihatan akibat cuaca terik.

Tinjauan Kosmo! di sekitar Mekah mendapati, ramai jemaah menggunakan payung, topi dan membawa botol air ketika berjalan kaki bagi mengurangkan kesan cuaca panas semasa menunaikan ibadah.

Selain itu, terdapat juga jemaah yang memilih untuk menunaikan solat zuhur dan asar di surau atau masjid berhampiran hotel penginapan bagi mengurangkan pergerakan di luar ba­ngunan.

Malah, sebahagian besar jemaah haji Malaysia kini dilihat lebih selesa menunaikan umrah di Masjidil Haram pada waktu malam atau awal pagi memandangkan suhu ketika itu le­bih rendah iaitu sekitar 27 hingga 33 darjah Celsius.

Seorang jemaah Malaysia, Josephone Hezrin Azhar berkata, cuaca di Tanah Suci lebih panas terutama pada waktu zuhur dan asar sehingga menyebabkan beliau cepat berasa letih.

“Kalau keluar selepas tengah hari memang terasa bahangnya. Kami cuba kurangkan aktiviti luar dan banyak berehat di hotel,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang lagi jemaah, Mohammad Azizul Abdul Aziz berkata, beliau kini lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti luar de­ngan sentiasa membawa air minuman dan memakai payung bagi mengelakkan dehidrasi akibat cuaca panas.

“Sekarang memang kena sentiasa bawa air dan elakkan berjalan terlalu lama waktu tengah hari. Kalau tidak, badan cepat penat dan tekak pun cepat ke­ring,” katanya.

Sementara itu, Ketua Rombo­ngan Haji, Mohd. Hisham Harun berkata, jemaah diingatkan supaya memberi perhatian terhadap pengambilan air secukupnya dan menggunakan payung ketika berada di luar bangunan penginapan.

“Jemaah juga dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar terutama ketika cuaca terlalu panas bagi mengelakkan risiko tekanan haba dan strok haba.

“Tabung Haji ingin terus mengingatkan jemaah supaya sentiasa menjaga kesihatan diri memandangkan cuaca di Tanah Suci dijangka menjadi lebih panas menjelang hari wukuf,” katanya baru-baru ini.

Ujarnya, jemaah perlu menyim­pan tenaga dan mengekalkan tahap kesihatan yang baik kerana misi utama setiap jemaah adalah untuk berwukuf di Arafah.

“Ini bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW dalam riwayat Imam al-Tirmizi: ‘Al-Hajju Arafah’ yang bermaksud ‘Haji itu adalah wukuf di Arafah’,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN