NAMA Lily Haslina Nasir bukan asing dalam dunia penulisan kreatif tanah air.
Lebih empat dekad berkarya, anak kelahiran Melaka itu terus membuktikan usia bukan penghalang untuk kekal relevan, produktif dan konsisten menghasilkan naskhah bermutu yang dekat di hati pembaca.
Mula menceburi dunia penulisan sejak tahun 1985, Lily Haslina bahkan pernah dinobatkan sebagai Penulis dan Novelis Prolifik Negara pada tahun 2022 di Anugerah Buku Negara.
Dilahirkan dalam keluarga pendidik, dia yang mesra disapa Lily, 55, mengakui kecintaan terhadap dunia penulisan mula berputik sejak usia muda.
Mendapat pendidikan awal di Methodist Girls School diikuti Sekolah Menengah Munshi Abdullah, Melaka, dia kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Media di Universiti Malaya sebelum memilih dunia penulisan sebagai medium perjuangan hidupnya.
“Mak dan ayah saya seorang guru. Mungkin daripada suasana itulah saya didedahkan dengan buku, bahan bacaan dan budaya ilmu sejak kecil.
“Tetapi, minat menulis tidak bermula sebagai cita-cita besar, sebaliknya hadir daripada keinginan untuk saya mencari wang saku ketika masih di bangku sekolah.
“Saya mula menulis novel ketika di sekolah menengah. Masa itu saya fikir, kalau orang lain boleh dapat duit melalui penulisan, kenapa saya tidak cuba?” katanya kepada K-Wanita ketika ditemui baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, bakatnya semakin menyerlah apabila cerpen hasil tulisannya tersiar di majalah Dewan Siswa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika usianya baru mencecah 14 tahun.
Karya tersebut turut diperdengarkan di radio dan mendapat pujian editor yang tidak menyangka karya matang itu dihasilkan oleh pelajar tingkatan dua.
Kejayaan itu menjadi pemangkin buat Lily untuk terus hasilkan lebih banyak karya.
Pencapaian tersebut turut melayakkan dirinya terpilih menyertai program Minggu Penulis Remaja anjuran DBP sebagai peserta termuda dalam kalangan pelajar tingkatan enam dan mahasiswa universiti.
Sepanjang perjalanan seninya, Lily turut menerima pelbagai pengiktirafan berprestij termasuk Anugerah Tempat Pertama Menulis Esei Sempena Ulang Tahun Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Ke-40 pada 1988.
TIDAK setakat itu, dia turut diiktiraf sebagai Penulis Terbaik/Wartawan untuk Special Project Majalah Bahasa Melayu – Red Ribbon Award oleh Malaysia AIDS Council pada 1998 yang disampaikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pada 2019, novel Pulang dipilih antara karya Malaysia untuk dipamerkan di Frankfurt Book Fair, sebelum dia menerima Anugerah Perdana iaitu Penulis dan Novelis Prolifik Negara di Anugerah Buku Negara 2022 diikuti Anugerah Telenovela Drama Adaptasi Terbaik 2023 menerusi karya Sesekali serta Anugerah Tokoh Penulis Srikandi Melaka 2023.
Menyorot kembali, sebelum dikenali sebagai novelis prolifik, Lily terlebih dahulu membina nama dalam dunia kewartawananan apabila berkhidmat hampir 15 tahun bersama Berita Publishing menerusi majalah Jelita sebagai Penolong Pengarang Rencana.

Dia kemudian mengembangkan pengalaman dalam industri media apabila diberi tanggungjawab mengendalikan projek khas bersama Astro termasuk penerbitan berkaitan fenomena Akademi Fantasia ketika nama penyanyi Mawi sedang berada di puncak populariti.
Namun, di sebalik kerjaya yang stabil dan selesa, Lily merasakan dirinya mahukan kebebasan berkarya.
“Saya bukan berhenti kerana tidak suka dunia majalah. Saya cuma mahu menulis apa yang saya percaya, apa yang saya suka dan apa yang benar-benar dekat dengan jiwa terikat dengan kandungan yang sama setiap bulan,” katanya.
Keputusan besar itu akhirnya mengubah seluruh perjalanan hidupnya apabila dia memilih untuk menjadi penulis sepenuh masa. Berbeza dengan kebanyakan penulis yang memilih tema cinta ringan, Lily lebih selesa menghasilkan karya berlapis, penuh konflik dan sarat kajian.
Antara karya yang paling mencabar baginya ialah Nefertiti yang mengangkat konflik cinta, perjuangan dan pengkhianatan dalam latar epik.
“Memang karya saya agak berat. Ada yang suka, ada juga yang tidak selesa. Tetapi saya percaya setiap karya ada pembacanya tersendiri,” katanya.
Selain itu, novel Pulang turut menjadi antara karya paling mencabar apabila dia hanya mengambil masa 28 hari untuk menyiapkannya sebelum pelancaran naskhah berkenaan.
“Saya perlu memasukkan elemen perang, pelayaran dan sejarah dalam tempoh yang sangat singkat. Tekanannya memang luar biasa, tetapi hasilnya alhamdulillah sangat berbaloi,” ujarnya.
Keupayaan Lily melakukan penyelidikan mendalam turut terserlah apabila dia diberi kepercayaan sebagai penyelaras bersama pasukan penulisan tentera termasuk Komandan Maktab Ketahanan Nasional, Mejar Jeneral Abdul
Karim Ahmad dan Mejar Jeneral (B) Datuk Zawawi Adam menjayakan projek penerbitan buku Sultan Kedah ke-29, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertajuk Dari Tentera ke Takhta versi Melayu. Buku itu juga direalisasikan ke bahasa Inggeris bertajuk Soldier To King.
Projek itu mengambil masa empat tahun untuk dilunaskan termasuk melakukan pencarian bahan sampai ke India bagi menjejaki rekod latihan ketenteraan tokoh berkenaan.
Kebanyakan karya Lily juga berasaskan kisah benar dengan elemen sejarah, politik, keluarga dan perjuangan yang digarap secara dramatik. Antara karya yang mendapat perhatian termasuk Maharani, Black Ghost, #MegatAdri dan Lelaki Lingkungan Cinta yang masing-masing mempunyai kelompok peminat tersendiri.
Lebih membanggakan, minat terhadap dunia penulisan kini diwarisi anak lelakinya, Arif Haiqal Roslan atau lebih dikenali sebagai Mudin Haiqal.
Pelajar Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu mula mencipta nama menerusi pelbagai kemenangan dalam pertandingan penulisan nasional, antaranya Naib Johan Sayembara Penulisan Novel Perpaduan PNM-DBP 2024 (Kategori Remaja), Dua Hadiah Tunas Cipta 2021/2022 bagi kategori Puisi, selain Hadiah Tunas Cipta 2021/2022 bagi kategori Rencana.
Malah, karya cerpennya juga kerap menjadi pilihan media arus perdana untuk disiarkan.
Pada Pesta Buku Kuala Lumpur (PBKL) 2026, Lily menampilkan novel terbaharu Legasi, manakala novel anaknya bertajuk Pecahnya Sekeping Hati Lelaki terbitan Karyaseni. Satu lagi naskhah Lily yang lain di PBKL 2026 Mejar Harith, Lautan Pemisah Cita-Cita dan Cinta terbitan Rumah Books Iman Publication.
“Saya sendiri kadang-kadang tidak tahu bila dia menulis dan bila dia belajar. Tetapi melihat kesungguhannya, saya tahu darah penulis itu ada,” katanya.
Ibu kepada lima cahaya mata itu mengakui antara sebab dia meninggalkan kerjaya tetap suatu ketika dahulu adalah untuk memberi perhatian penuh terhadap pendidikan anak-anak.
Hari ini, selepas puluhan tahun berkarya, Lily masih aktif menulis novel, skrip drama, dokumentari serta berkongsi pengalaman menerusi bengkel penulisan kepada generasi baharu.
“Kini selepas puluhan tahun, saya masih menulis, dan selagi ada idea dan kesihatan, saya akan terus berkarya,” tutupnya.














