MANILA – Seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun nekad berenang sejauh hampir 6 kilometer merentasi laut bergelora untuk mendapatkan bantuan selepas bot dinaiknya karam di perairan Culasi, Filipina, lapor portal berita Must Share News.
Cherry Ann Mateo dilaporkan berenang selama lima jam sebelum sampai ke daratan untuk memaklumkan kejadian itu kepada penduduk serta pegawai tempatan.
Kemalangan berlaku sekitar pukul 11 pagi (waktu tempatan) apabila bot membawa empat penumpang itu dipukul ombak besar dan angin kencang sebelum terbalik di antara Pulau Mararison dan Pulau Batbatan.
Bot tersebut dipercayai dalam perjalanan pulang ke Pulau Batbatan selepas mereka menjual ikan masin di Culasi.
Selepas bot dinaiki mereka karam, Mateo memutuskan untuk berenang ke Pulau Batbatan bagi mendapatkan pertolongan.
Kempat-empat penumpang berjaya diselamatkan sejurus selepas waktu tengah malam, baru-baru ini.
Keberanian Mateo menyaksikan dia menerima pengiktirafan khas daripada Pengawal Pantai Filipina. – AGENSI














