SEBERANG PERAI – Seorang pemuda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan pertuduhan mencederakan teman wanitanya menggunakan parang, minggu lalu.
Tertuduh, Tey Boon Hooi, 46, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Mengikut pertuduhan, dia yang bekerja sebagai penarik kereta didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang wanita berusia 45 tahun menggunakan senjata berbahaya iaitu sebilah parang di sebuah rumah di Taman Aman Jaya, Bukit Mertajam, kira-kira pukul 6 pagi, 2 Mei lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Lim Zhan Yi memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh selain memohon syarat tambahan iaitu larangan mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sekiranya jaminan diberikan.
Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan dia perlu menyara ibunya selain teman wanita.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Jun depan bagi serahan dokumen serta lantikan peguam. – KOSMO! ONLINE














