PETALING JAYA – Datuk Aminuddin Hassim secara rasmi memulakan tugas sebagai Ketua Setiausaha (KSU) baharu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan beliau menggantikan Datuk Dr. Anesee Ibrahim yang bersara wajib pada 9 Mei lalu selepas menamatkan perkhidmatan dalam memperkukuh agenda pendidikan tinggi negara.
Ketibaan Aminuddin di ruang legar KPT disambut Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Ahmad Rizal Adnan bersama barisan pengurusan tertinggi kementerian sebelum beliau mengetik perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas rasmi.
KPT dalam kenyataan berkata, Aminuddin sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Pengalaman luas beliau dalam sektor pendidikan amat signifikan dalam memastikan kesinambungan pembangunan bakat negara dari pendidikan asas hingga pendidikan tinggi.
“Ia sekali gus membantu melahirkan graduan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta yang lebih berkualiti, kompetitif dan memenuhi aspirasi pembangunan negara,” menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut KPT, pengalaman beliau menerajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut memberi kelebihan dalam memperkukuh hala tuju penyelidikan dan pembangunan universiti serta ekosistem inovasi negara.
Beliau juga pernah memegang jawatan strategik sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Aminuddin memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1994 dan pernah berkhidmat di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan serta Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Dari segi akademik, beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Ekonomi dan Pengurusan Alam Sekitar dari York University, United Kingdom selain Ijazah Sarjana dari University of Warwick serta Ijazah Sarjana Muda dari University of Central England.
KPT yakin gabungan pengalaman beliau dalam bidang pendidikan, inovasi, penyelidikan dan pentadbiran awam mampu memperkukuh pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.
“Kepimpinan beliau diyakini dapat memacu transformasi pendidikan tinggi negara, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperkukuh daya saing IPT Malaysia di peringkat serantau dan global,” katanya.- KOSMO! ONLINE.














