JOHOR BAHRU – Rakyat Malaysia tidak perlu tergesa-gesa menukar MyKad lama kepada MyKad baharu sebaik kad pengenalan versi terkini diperkenalkan bermula 1 Jun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan pemilikan MyKad adalah wajib di sisi undang-undang bagi setiap warganegara yang mencapai usia 12 tahun, namun tiada peruntukan yang mewajibkan pemegang MyKad sedia ada menukar kad mereka dalam tempoh tertentu.
Menurutnya, orang ramai tidak perlu berpusu-pusu ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana MyKad lama masih sah digunakan seperti biasa.
“Undang-undang menetapkan setiap rakyat Malaysia apabila mencapai umur 12 tahun wajib memiliki MyKad, tetapi tidak menyebut semua pemegang kad lama mesti menukar kepada kad baharu serta-merta apabila versi baharu diperkenalkan.
“1 Jun ini kita perkenalkan MyKad baharu yang mempunyai ciri keselamatan terkini, jadi tak perlulah terburu-buru pergi ke JPN untuk tukar kad pengenalan, ambil masa sikit,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau kemajuan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Stesen Bukit Cagar, di sini hari ini.
Saifuddin berkata, pengeluaran MyKad baharu itu merupakan sebahagian usaha kerajaan memperkukuh ciri keselamatan dokumen pengenalan diri negara selaras perkembangan teknologi semasa.
Katanya, MyKad baharu akan dilengkapi pelbagai ciri keselamatan terkini bagi mengekang pemalsuan identiti serta penyalahgunaan dokumen rasmi.
“Tujuan kita memperkenalkan MyKad baharu adalah untuk meningkatkan tahap keselamatan dan integriti dokumen pengenalan negara,” katanya.
Beliau berkata, proses penggantian kad akan dilakukan secara berperingkat memandangkan terdapat lebih 20 juta rakyat Malaysia yang kini menggunakan MyKad sedia ada.
Tambah beliau, golongan yang pertama kali mencapai umur 12 tahun dan membuat permohonan kad pengenalan selepas pelaksanaan sistem baharu akan menerima MyKad versi terkini secara automatik.
Terdahulu, pada 8 Januari lalu, media melaporkan Malaysia akan memperkenalkan pasport dan MyKad berwajah baharu dalam tempoh enam bulan lagi sebagai sebahagian usaha memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan negara.
Pengenalan dokumen baharu itu adalah satu pencapaian penting, khususnya ketika pasport Malaysia kini berada dalam kelompok pasport paling dipercayai di dunia. – KOSMO! ONLINE














