GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak mempunyai rancangan untuk meminda had tempoh jawatan Ketua Menteri daripada dua penggal kepada 10 tahun, ketika ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, peruntukan yang diguna pakai ketika ini adalah berdasarkan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang serta keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).
“Perkara 7 Fasal (a) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan bahawa Yang di-Pertua Negeri hendaklah terlebih dahulu melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mendapat kepercayaan majoriti sebagai Ketua Menteri dan individu tersebut tidak pernah memegang jawatan itu bagi dua penggal sebelum ini.
“Dalam keadaan Dewan Undangan Negeri dibubarkan sebelum sesuatu penggal tersebut mencapai tempoh lima tahun, istilah ‘dua penggal’ seharusnya difahamkan sebagai pengiraan kumulatif tahun-tahun yang terlibat untuk penggal pertama dan kedua.
“Jumlah keseluruhan boleh kurang dari 10 tahun tetapi tidak boleh sama sekali melangkaui 10 tahun,” katanya pada persidangan DUN Pulau Pinang di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lee Khai Loon (PH-Machang Bubuk) sama ada kerajaan negeri bersedia meminda had tempoh jawatan Ketua Menteri kepada 10 tahun.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, Perkara 19 Fasal 3 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan bahawa melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Dewan Undangan hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh persidangan pertamanya.
“Untuk maklum YB (Yang Berhormat), pada ketika ini, Kerajaan Negeri tidak ada rancangan untuk membuat pindaan daripada ‘dua penggal’ kepada 10 tahun,” ujarnya.
Pulau Pinang mencatat sejarah apabila menjadi negeri pertama meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2018 bagi mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri kepada dua penggal. – KOSMO! ONLINE














