KANGAR – Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah menjelaskan penangguhan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis adalah disebabkan pihaknya mahu meneliti beberapa perkara untuk diperbaiki.
Kata beliau, penelitian yang dibuat bersama kepimpinan kerajaan negeri itu termasuk penyusunan semula pentadbiran agar persidangan dapat berjalan dengan lebih sempurna.
Menurutnya, pihaknya juga sentiasa bersedia memastikan Persidangan DUN berlangsung sebelum tarikh akhir iaitu selewat-lewatnya pada 8 Jun depan.
“Saya melihat isu penangguhan ini diperbesarkan, sedangkan bagi saya ia perkara biasa sahaja. Kita masih mempunyai tempoh selewat-lewatnya pada 8 Jun untuk mengadakan persidangan.
“Mengikut peraturan, persidangan seterusnya tidak boleh melebihi tempoh enam bulan daripada persidangan sebelumnya, jadi tempoh tersebut masih ada,” katanya ketika ditemui selepas Program Perlis Open Moto x Meeting di Litar Motocross Sungai Batu Pahat di sini hari ini.
Abu Bakar berkata, adalah tidak wajar sekiranya ada pihak cuba melihat perkara itu sebagai isu kepimpinan atau memberi tekanan kepada pentadbiran kerajaan negeri.
“Dalam politik, kita tidak perlu takut. Isu takut tidak timbul di sini dan yang ada hanyalah perbezaan cara kepimpinan.
“Dulu ada cara lain dan saya sebagai Menteri Besar mempunyai pendekatan tersendiri. Saya akan buktikan bahawa persidangan itu akan diadakan sebelum tarikh akhir iaitu sebelum 8 Jun,” ujarnya.
Jelasnya, beliau juga telah merujuk beberapa pihak bagi memastikan penangguhan itu dapat dilaksanakan demi melicinkan pentadbiran yang masih baharu.
Tambahnya, penangguhan itu juga telah dimaklumkan oleh Setiausaha Dewan kepada Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan serta pihak berkaitan.
“Berkenaan isu undi tidak percaya seperti yang dibangkitkan, perkara itu terletak kepada Speaker. Speaker mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada usul tersebut boleh diterima atau tidak.
“Dari segi bilangan, saya melihat keadaan adalah seimbang dan tiada masalah besar. Namun, semuanya bergantung kepada keputusan Speaker,” katanya.
Sebelum ini, enam wakil rakyat Pas menuntut penjelasan daripada Menteri Besar Perlis itu berhubung penangguhan Persidangan DUN Perlis yang dijadual berlangsung pada 21 sehingga 23 April ini. – KOSMO! ONLINE














