SEBERANG PERAI – Sebuah keluarga terdiri sembilan beranak dilaporkan terselamat dalam kebakaran melibatkan ruang dapur kediaman dua tingkat di Lorong Mekarsari, Kepala Batas di sini, hari ini.
Mangsa terdiri tiga lelaki dewasa dan seorang wanita serta lima kanak-kanak iaitu dua lelaki dan tiga perempuan.
Ketika kejadian, penghuni terbabit dikatakan sedang nyenyak tidur sebelum mereka dikejutkan dengan kebakaran berlaku.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 5 pagi.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bertam dengan bantuan BBP Kepala Batas.
“Kebakaran melibatkan ruang dapur di tingkat bawah dengan anggaran peratusan kemusnahan kebakaran adalah 30 peratus. Kebakaran telah dapat dikawal pada pukul 5.19 pagi dan padam sepenuhnya kurang setengah jam kemudian.
“Mangsa merupakan sebuah keluarga terdiri sembilan beranak. Tiada mangsa dilaporkan mangsa cedera,” katanya di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, lokasi kebakaran seterusnya diserahkan kepada Pihak Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya dan operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada pukul 7 pagi. – KOSMO! ONLINE














