SHAH ALAM – Semua pihak perlu memahami konsep Raja Berpelembagaan dan kuasa Sultan untuk memberi nasihat mengenai masalah rakyat di negara ini.
Ahli Dewan Diraja Selangor, Datuk Salehuddin Saidin berkata, institusi Diraja berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang dengan dilaksanakan menerusi khidmat nasihat supaya kerajaan mengambil berat terhadap isu yang menjejaskan kepentingan awam.
“Sebagai Raja di sesebuah negeri, baginda berkuasa menasihati untuk diikuti oleh kerajaan negeri demi kebaikan dan kepentingan rakyat.
“Bermakna sesuatu titah atau nasihat tuanku tersebut bertujuan memastikan kerajaan sentiasa mengambil berat tentang urusan kebajikan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pada majlis Apresiasi dan Jalinan Ukhwah Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di sini, hari ini.
Mengulas pendirian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang kekal tidak berkenan terhadap sebarang aktiviti penternakan babi, Salehuddin yang juga Pengerusi MAIS berkata, keputusan itu dibuat selepas menilai risiko besar terhadap alam sekitar.
“Baginda memikirkan tentang rakyat yang secara majoritinya yang tidak mahu isu berkaitan pencemaran alam, udara, air dan sungai. Jadi, bukan umat Islam saja yang terkesan namun melibatkan golongan bukan Islam. Siapa yang mahu pencemaran berlaku?,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














