JAKARTA – Pihak berkuasa Indonesia memintas 80 warganegaranya di beberapa lapangan terbang antarabangsa kerana cuba melakukan perjalanan ke Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji secara haram, lapor portal berita Jakarta Globe.
Setiausaha Direktorat Besar Haji dan Umrah, Rizka Anungnata berkata, operasi penguatkuasaan tertumpu di beberapa hab transit utama.
“Sehingga hari in (semalam), 80 tindakan penguatkuasaan telah dijalankan oleh pegawai imigresen di beberapa lokasi,”
“Sebahagian besar tangkapan dibuat di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta di mana 57 individu diberkas. Seramai 15 individu lagi ditahan di Surabaya, diikuti lima orang di Medan dan tiga di Yogyakarta,” kata Rizka.
Menurutnya, perjalanan tanpa visa haji untuk memasuki kota suci Mekah semasa mengerjakan haji boleh menyebabkan rakyat Indonesia dihantar pulang, dikenakan denda berat dan risiko terkandas di luar negara.
Selain keselamatan individu, kerajaan memberi amaran bahawa tindakan sedemikian boleh menjejaskan reputasi Indonesia dan integriti sistem kuota haji rasmi.
“Kerajaan mengambil iktibar daripada kes-kes terdahulu di mana ramai rakyat Indonesia berdepan masalah undang-undang serius selepas cuba menunaikan haji melalui saluran yang tidak dibenarkan.
“Langkah pencegahan ini bertujuan untuk menyokong usaha kerajaan Arab Saudi dalam mengekalkan keselamatan dan ketenteraman semasa perhimpunan keagamaan berskala besar ini,” tambahnya.
Pesuruhjaya Kanan Pipit Subiyanto berkata, polis Indonesia menerima 95 laporan awal berkaitan keberangkatan haji yang tidak mengikut prosedur sah.
Pihak berkuasa sedang giat mengenal pasti kaedah yang digunakan oleh sindiket perjalanan untuk memintas peraturan rasmi, dengan beberapa kes sudah beralih daripada peringkat penyiasatan kepada proses pendakwaan, katanya. – AGENSI














