SHAH ALAM – Tindakan kejam seorang lelaki merendam seekor anak anjing ke dalam sebuah tangki air di sebuah tapak pembinaan membawa padah apabila dia akhirnya diberkas polis, hari ini
Suspek tempatan berusia 20an ditahan kira-kira pukul 3.40 petang di tapak pembinaan terletak di Seksyen 32 di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, penahanan suspek susulan laporan diterima pukul 2.14 pagi tadi daripada orang awam yang melihat sebuah video di aplikasi TikTok.
Katanya, video berkenaan memaparkan seorang lelaki bertindak kasar dengan merendam seekor anak anjing ke dalam sebuah tangki berisi air.
“Semasa tangkapan dibuat, tiga ekor anjing turut dirampas bersama suspek dengan bantuan kehadiran pihak Jabatan Perkhidmatan Verterinar Selangor bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.
“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Laymand Rayne di talian 014-6907071 bagi membantu siasatan.














