MIRI – Seorang warga emas yang dilaporkan hilang ketika memancing di Sungai Ridan, Marudi semalam dipercayai dibaham buaya apabila sebahagian anggota badannya ditemukan hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Liew Mei Koon, 64, ditemukan dalam keadaan tidak sempurna pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.20 malam semalam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Marudi digerakkan ke lokasi di Jalan Industri Sungai Ridan.
Menurutnya, pengadu yang juga adik mangsa memaklumkan penduduk kampung menemui motosikal milik mangsa di tepi Sungai Ridan bersama pakaian serta peralatan memancing di bawah jambatan sungai berkenaan.
“Usaha pencarian awal dilakukan namun mangsa gagal ditemukan dan operasi SAR hari kedua bermula pada pukul 8 pagi dengan empat anggota bomba bergerak ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, operasi menurunkan bot aluminium menghadapi kesukaran dan memerlukan bantuan kren sebelum pencarian dapat dimulakan pada pukul 10.20 pagi.
“Pada pukul 10.52 pagi, pasukan SAR menemukan sebahagian anggota badan mangsa iaitu dua kaki, satu kepala dan satu tangan,” katanya.
Tambahnya, operasi membabitkan sebuah bot bomba, bot Polis Diraja Malaysia, bot Angkatan Pertahanan Awam serta bot orang awam dengan radius pencarian awal sejauh dua kilometer sebelum diperluaskan sehingga lapan kilometer bagi mencari sisa anggota badan mangsa. – KOSMO! ONLINE














