fbpx
Sultan Sharafuddin

Titah Sultan Selangor bukan campur tangan, selari Raja Berperlembagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Ahli-ahli Dewan Di-Raja Selangor menegaskan titah Sultan Selangor tidak wajar dianggap sebagai campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri, sebaliknya selari dengan amalan Raja Berperlembagaan di negara ini.

Menerusi kenyataan, Ahli-ahli Dewan Di-Raja Selangor berkata, pandangan serong dan negatif segelintir pihak termasuk pemimpin politik yang mengaitkan titah Baginda sempena Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-15 pada 20 April 2026 sebagai melanggar konsep tersebut adalah tidak tepat.

Tegasnya, titah Sultan merupakan nasihat bagi memastikan segala tindakan kerajaan negeri bertepatan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan mengambil kira kepentingan dankesejahteraan rakyat dalam
pemerintahannya.
“Dalam konteks negeri Selangor, Menteri Besar dikehendaki berunding dengan Sultan di dalam segala hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat.

“Rundingan membawa maksud bahawa Sultan mempunyai hak untuk diberi sembah maklum oleh Menteri Besar mengenai urusan pentadbiran negeri bagi membolehkan Baginda Sultan mengetahui apa yang berlaku disamping memberi nasihat sebelum sesuatu keputusan mengenainya dimuktamadkan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pandangan dan nasihat Sultan berdasarkan kepentingan rakyat tanpa dipengaruhi oleh kepentingan politik.

Tegas Ahli-ahli Dewan Di-Raja Selangor, sebarang nasihat, teguran dan peringatan oleh Sultan Selangor adalah merupakan nasihat dan teguran penting dari seorang Raja bagi memastikan pentadbiran negeri dijalankan dengan penuh tanggungjawab.

“Sultan sering menitikberatkan tindakan yang efektif dan bukan janji-janji kosong dalam menyelesaikan masalah rakyat bersesuaian dengan peranan Baginda
Sultan sebagai Ketua Negeri,” katanya.

Ahli-ahli Dewan Di-Raja Selangor memaklumkan baginda sering menerima aduan rakyat berkaitan isu banjir, kutipan sampah, jalan rosak dan pelbagai masalah infrastruktur lain di negeri ini.

Malah katanya, aduan yang diterima bukan berbentuk surat layang kerana disertakan dengan butiran lengkap termasuk nama, alamat dan nombor telefon bagi membuktikan Sultan menegur kerajaan negeri atas kesulitan dan masalah dihadapi mereka.

“Sultan Selangor tidak mahu bertindak sebagai “rubber stamp” atau sekadar formaliti dalam melaksanakan fungsi Baginda sebagai Sultan.

“Sultan bertindak sebagai satu kuasa semak dan imbang terhadap pihak eksekutif untuk memastikan kepentingan rakyat sentiasa terjaga dan terpelihara,” katanya.

Dewan Di-Raja Selangor turut menzahirkan keyakinan bahawa Sultan Selangor yang mempunyai pengalaman memerintah selama 25 tahun sebagai Sultan dan 33 tahun sebagai Raja Muda memahami sepenuhnya peranan Baginda dalam kerangka Raja Berperlembagaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN