PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pentadbiran negara tidak boleh dibina atas dasar menolak mana-mana kelompok politik, sebaliknya mesti menghormati mandat rakyat dan realiti masyarakat majmuk di Malaysia.
Perdana Menteri berkata, dalam sistem dan amalan demokrasi, parti-parti politik di negara ini mesti menghormati pilihan rakyat.
“Agak angkuh atau sombong untuk kita membuat keputusan menafikan hak mana-mana kaum, pimpinan kaum dan pimpinan parti untuk menyertai dan bersama dalam pentadbiran kerajaan.
“Ini saya tegaskan kerana kadangkala dalam ketegangan dan kehangatan kempen politik, kadang-kadang ada keterlanjuran.
“Saya harap itu keterlanjuran yang boleh diperbetulkan kerana ia tidak memberi mesej yang baik,” katanya ketika ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu ‘duduk semeja’ yang kini hangat dimainkan parti-parti politik menjelang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika ini.
Anwar berkata, semua parti-parti politik dan masyarakat perlu memahami bahawa Malaysia ini dipandu beberapa prinsip utama dalam Perlembagaan.
“Pimpinan silih berganti tetapi kerangka dasar yang termaktub dalam perlembagaan itu menjadi pegangan.
“Itu kalau ikut undang-undang dan kategori undang-undang, bukannya apa namanya prinsip-prinsip asas kedaulatan hukum. Itu prinsip dalam perlembagaan.
“Jadi, soal siapa yang harus berdamping dengan kita, itu harus mewakili semua susuk pelbagai kaum, pelbagai agama, walaupun induknya majoriti kaum Melayu,” katanya.
Katanya, beliau mahu dasar-dasar jelas itu tidak dipertikai dan semua pihak perlu memahami demokrasi dan menghormati pilihan rakyat.
Mengulas lanjut, katanya, beliau berharap ‘keterlanjuran’ (kenyataan pimpinan politik) itu boleh diperbetulkan kerana ia tidak memberi mesej yang baik.
“Kita semua ada sentimen pendirian peribadi kita, membesar dalam suasana yang tersendiri. Ia juga mempengaruhi pandangan tentang tasawwur atau tasawuf kita,” katanya.
Katanya, dalam Islam, soal menghormati kepelbagaian itu adalah satu prinsip dan perlu ada toleransi.
Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor menegaskan BN Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP jika diberi mandat semula untuk membentuk kerajaan negeri pada PRN itu.
Kenyataan Onn Hafiz itu kemudian dijawab sinis Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menjelaskan bahawa pendirian Menteri Besar Johor itu bercanggah dengan realiti kerjasama BN dengan DAP di peringkat Kerajaan Persekutuan. – KOSMO! ONLINE














