DALLAS – Pengendali Perancis, Didier Deschamps memberi amaran keras kepada barisan pemain supaya tidak memandang rendah Iraq menjelang aksi kedua Kumpulan I Piala Dunia 2026 awal pagi esok.
Walaupun Les Bleus dilabel sebagai pilihan utama untuk meraih tiga mata penuh, Deschamps menegaskan lawan mereka bukan pasukan yang boleh dipandang mudah.
Menurut Deschamps, beberapa keputusan mengejut dalam kempen Piala Dunia kali ini menjadi bukti bahawa barisan pemain kekal fokus dan tidak terlalu yakin dengan status sebagai pilihan utama pada kempen kali ini.
“Adakah Iraq memberi sebarang makna kepada kamu? Jangan anggap mereka sebagai pasukan kecil kerana itu tidak benar. Adakah kamu kenal Bolivia? Mereka pasukan yang bagus dari Amerika Selatan.
“Iraq berjaya menewaskan mereka di Mexico untuk melayakkan diri ke Piala Dunia. Jangan sesekali fikir perlawanan ini akan menjadi mudah hanya kerana kita adalah Perancis,” katanya ketika memberi taklimat kepada pemain.
Sementara itu, pertahanan tengah Perancis, William Saliba turut senada dengan jurulatihnya apabila mengakui Iraq memiliki kualiti tersendiri berdasarkan analisis yang dilakukan pasukan kejurulatihan.
“Kami sudah menonton beberapa rakaman perlawanan mereka menentang Norway dan saya fikir mereka adalah pasukan yang baik dan bakal memberi cabaran sengit untuk merebut tiga mata nanti,” katanya. – AGENSI














