PERANCANG kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Manuel Hidalgo mampu menjadi ‘arkitek’ utama buat skuad Harimau Malaya seandainya sudah sah dinaturalisasi menjadi pemain tempatan selepas lebih lima tahun bermastautin di bumi Malaysia.
Terdahulu, spekulasi mengenai Hidalgo dan rakan sepasukannya di JDT, Bergson da Silva sudah mendapat kerakyatan tanah air bertiup kencang sejak minggu lalu.
Bekas jurulatih berpengalaman negara, Sulaiman Hussin percaya Hidalgo memiliki kualiti tersendiri yang tidak dimiliki oleh pemain-pemain import yang pernah dinaturalisasikan sebelum ini.
Menurut Sulaiman, selain usia yang masih muda, kelebihan pemain kelahiran Argentina itu adalah memiliki corak permainan dinamik dan mampu menambah sengat, khususnya di posisi serangan.
Beliau berkata, cabaran sebenar buat Hidalgo adalah untuk cepat menyesuaikan diri dengan corak permainan skuad kebangsaan kerana ia berbeza dengan apa yang diterapkan dalam pasukan JDT ketika ini.
“Saya yakin Hidalgo akan membawa dinamik dalam permainan skuad kebangsaan (jika sah dinaturalisasikan) dan harap dia cepat menyesuaikan diri.
“Bersama JDT, segalanya nampak mudah kerana dia dikelilingi pemain yang bagus. Namun, situasi berbeza dalam skuad kebangsaan tetapi jika diberi sokongan, dia mampu sumbangkan sesuatu kerana ada kelebihan dari segi kualiti individu,” katanya kepada Kosmo!.
Pada Mac lalu, Hidalgo yang berusia 27 tahun telah mengeluarkan kenyataan secara terbuka apabila tidak sabar untuk menunggu bulan Mei bagi melengkapkan proses menjadi pemain naturalisasi.
Selain Bergson dan Hidalgo, dua lagi tonggak import yang berpotensi untuk dinaturalisasikan pada tahun ini adalah pertahanan KL City, Giancarlo Gallifuoco dan pemain tengah Selangor FC, Alex Agyarkwa.














