PETALING JAYA – Seorang pelancong dari Australia dikenali sebagai Roman Travel di TikTok meluahkan pandangannya mengenai penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang menurutnya kurang mencerminkan identiti Malaysia walaupun dianjurkan dengan baik.
Roman berkata, dia pada mulanya menghadiri acara berkenaan bagi menilai sendiri selepas membaca pelbagai reaksi dikongsikan orang ramai di media sosial.
“Acara itu sebenarnya dianjurkan dengan baik, DJ yang bagus, persiapan mantap dan mereka yang hadir kelihatan sangat menikmati suasana,” katanya.
Bagaimanapun, Roman secara peribadi merasakan wujud sesuatu yang janggal kerana elemen ‘rave’ dilihat lebih menonjol sehingga menenggelamkan aspek lain acara berkenaan.
Menurutnya, selepas sembilan bulan menetap di Malaysia, beliau semakin menghargai kepelbagaian budaya negara ini yang disifatkan sebagai unik dan menjadi daya tarikan utama.
“Namun ketika berada di acara itu, ia tidak terasa begitu mencerminkan Malaysia. Elemen rave seolah-olah lebih dominan berbanding aspek budaya,” katanya.
Pempengaruh itu turut berpendapat persepsi orang ramai terhadap acara tersebut turut dipengaruhi oleh penjenamaan serta kandungan dalam talian yang lebih menumpukan aspek pesta berbanding elemen budaya yang ada.
“Jadi akhirnya, ia terasa seperti ada sedikit ketidakpadanan antara apa yang acara itu boleh jadi dan bagaimana ia dirasai,” ujarnya.
Dalam pada itu, Roman berkata dia pernah menghadiri pelbagai sambutan kebudayaan di Malaysia seperti Hari Kebangsaan, Deepavali, Tahun Baharu Cina, Ramadan dan hari raya yang menurutnya memberikan pengalaman lebih bermakna.
“Saya rasa itulah yang membuatkan Malaysia begitu istimewa. Tetapi Rain Rave bukan sesuatu yang saya mahu alami lagi. Itu hanya pandangan saya,” katanya.
Dia turut mencadangkan idea penganjuran festival budaya berskala besar yang menggabungkan pelbagai perayaan utama di Malaysia dengan persembahan tradisional pada siang hari dan muzik moden pada waktu malam.
“Sesuatu ruang di mana penduduk tempatan dan pelancong boleh berkumpul dan benar-benar merasai apa itu Malaysia,” katanya. – KOSMO!














