SEBERANG PERAI – Seorang lelaki maut selepas dia dilaporkan tersepit dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori berhampiran Persiaran Cassia Barat, Batu Kawan di sini, hari ini.
Mangsa berusia 46 tahun disahkan mati di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialami.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya bergegas r lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kemalangan berlaku.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kawan bersama bantuan BBP Sungai Bakap digerakkan ke lokasi kemalangan.
“Sebaik tiba, didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga dan sebuah lori jenis Hino, dengan pemandu kereta berkenaan tersepit di ruang pemandu,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, anggota kemudian melakukan ‘size up’ sebelum menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.
“Mangsa berusia 46 tahun berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. -KOSMO! ONLINE














