SEPANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berhasrat untuk memperluas keanggotaannya menerusi inisiatif Pengawal Sempadan Malaysia (MBG) pada masa depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan melihat prestasi kumpulan pertama MBG itu terlebih dahulu dan terbuka untuk menambah pengambilan jika ia memberi nilai tambah kepada AKPS.
Beliau berkata, pihaknya mempunyai peruntukan untuk mengambil sehingga 200 MBG tahun ini membabitkan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Setakat ini, 50 orang telah menyelesaikan (pengambilan) fasa pertama. Mereka akan ditempatkan di beberapa pintu masuk termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pelabuhan Klang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja pengoperasian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.
Katanya, beliau terbuka untuk menerima apa-apa idea daripada Ketua Pengarah AKPS khususnya dalam aspek pengambilan anggota.
Ditanya aspek penggunaan senjata oleh anggota AKPS, Saifuddin berkata, secara prinsipnya, anggota AKPS akan diberikan fasiliti persenjataan.
“Kita sedang mempertimbangkan penggunaan senjata renjatan elektrik sebagai permulaan, khususnya kerana tidak semua situasi memerlukan senjata api.
“Namun, hala tuju kita jelas bahawa AKPS akan menuju ke arah penggunaan senjata, terutama bagi kawasan berisiko tinggi.
“Mereka telah dilatih dari segi psikologi dan kemahiran untuk menghadapi pelbagai ancaman di sempadan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE














