ALOR SETAR – Kegagalan pemilik Porsche Cayenne memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta perlindungan insurans membawa padah apabila kenderaan mewah itu disita, semalam.
Kenderaan tersebut ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Pengarah di Lebuhraya Sultanah Bahiyah, di sini kira-kira pukul 10.15 pagi.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, kenderaan tersebut sebelum itu dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati LKM serta perlindungan insurans kenderaan itu telah tamat tempoh sejak 25 Mac lalu dengan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Susulan itu, tindakan saman telah dikeluarkan dan kenderaan berkenaan disita serta dibawa ke Depoh JPJ Negeri Kedah bagi siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pemandu berusia lingkungan 40-an yang bekerja sendiri itu memberi alasan terlupa untuk memperbaharui LKM dan insurans.
“Kita ingin menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang tanpa mengira jenis mahupun nilai kenderaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














