ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri akan memperkukuh pengurusan keluar masuk serta aliran trafik di kawasan sekolah susulan tragedi kemalangan maut membabitkan seorang murid yang dilanggar di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Maimon, Parit Sulong, Batu Pahat, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, insiden tersebut menjadi peringatan serius kepada semua pihak bahawa aspek keselamatan di kawasan sekolah tidak boleh dipandang ringan, khususnya ketika waktu puncak terutamanya pada waktu murid datang dan pulang sekolah.
“Kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor akan memastikan pelaksanaan garis panduan keselamatan sedia ada diperkemaskan, dengan fokus utama kepada pengurusan trafik yang lebih tersusun dan selamat.
“Langkah segera akan diambil termasuk memperketat kawalan pintu masuk dan keluar sekolah, memperluas pelaksanaan laluan sehala serta menambah baik zon khas menurunkan dan mengambil murid bagi mengelakkan kesesakan yang boleh mengundang risiko kemalangan,”katanya.
Beliau berkata demikian sebagai respon soalan lisan yang dibangkitkan Nor Rashidah Ramli (BN-Parit Raja) pada Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Kota Iskandar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Aznan turut menegaskan keperluan pengasingan laluan pejalan kaki dan kenderaan di semua sekolah, selain memastikan kemudahan keselamatan seperti lintasan belang, papan tanda amaran dan had laju dipatuhi sepenuhnya.
“Pemantauan akan dipertingkatkan dengan penempatan guru bertugas, pengawal keselamatan serta kerjasama lebih rapat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” jelasnya.
Selain itu, beliau berkata elemen pendidikan keselamatan jalan raya juga akan terus diperkasakan bagi membentuk kesedaran dalam kalangan murid, ibu bapa dan komuniti sekolah.
Tambahnya, pihak sekolah juga akan diarahkan menjalankan penilaian risiko secara berkala serta menambah baik pelan pengurusan trafik dalaman berdasarkan keperluan semasa.
“Kerajaan negeri komited memastikan persekitaran sekolah kekal selamat. Kita tidak mahu tragedi seperti ini berulang dan semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing,”katanya.
Beliau dalam masa sama menasihatkan ibu bapa dan pengguna jalan raya agar lebih berdisiplin serta mematuhi peraturan ketika berada di kawasan sekolah.-KOSMO! ONLINE














