fbpx
AHMAD FAREEZ reda takdir yang menimpa anaknya serta memaafkan pemandu van yang terlanggar Nur Aini Umairah.

‘Kami reda dengan takdir ini, maafkan pemandu van’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BATU PAHAT – Bapa kepada murid yang maut dilanggar van di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Maimon, Parit Sulong di sini semalam, reda dengan takdir yang sudah tertulis menimpa Nur Aini Umairah.

Ahmad Fareez Khalid, 39, berkata, mereka sekeluarga turut memaafkan pemandu van yang juga seorang warga emas yang terlibat dalam kemalangan itu sehingga meragut nyawa anak sulungnya yang berusia lapan tahun.

“Kepada pakcik (pemandu van) yang melanggar anak saya, tidak mengapa, saya sudah memaafkannya.

“Setiap yang berlaku itu sudah ada ketetapan. Kalau hendak menyalahkan sesiapa pun tidak boleh juga… siapa yang sengaja mahu membunuh orang?

“Saya sudah memaafkan pakcik itu. Saya reda kerana setiap yang hidup ini sudah ditentukan takdirnya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, Nur Aini Umairah parah pada bahagian kepada dan disahkan meninggal dunia dalam kejadian di hadapan pintu pagar utama sekolah berkenaan semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Fareez turut merayu orang ramai agar tidak menyalahkan pemandu van terbabit memandangkan kejadian tersebut berlaku di luar jangkaan.

“Permintaan saya, janganlah marah kepada pakcik itu. Kalau kami sebagai ibu bapa pun sudah reda, tidak perlulah orang lain terus menyalahkannya… kasihanilah dia,” ujarnya.

Mengulas mengenai arwah anaknya, Ahmad Fareez berkata, Nur Aini Umairah seorang kanak-kanak yang ceria dan disenangi ramai.

Katanya, arwah juga gemar bersolek dan sering menonton video di YouTube sebelum meniru gaya solekan yang dilihat.

“Kadang-kadang dia akan solek saya juga. Kali terakhir dia solek saya ketika kami berjalan-jalan ke Melaka minggu lalu.

“Itulah kenangan terakhir kami… selepas ini semuanya hanya tinggal memori,” katanya dalam nada sebak.

Tambahnya, walaupun sukar menerima kehilangan tersebut, mereka sekeluarga berusaha melepaskan pemergian arwah dengan tenang.

“Ibu bapa mana yang tidak sedih, tetapi kami reda dan berharap Allah SWT merahmati arwah,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN