PETALING JAYA – Kawasan sekolah bukan tempat untuk pemandu menekan minyak atau berebut jalan kerana satu saat kecuaian mampu mengundang tragedi yang meragut nyawa murid.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Public Health Malaysia (PHM) mengingatkan orang ramai supaya lebih berhemah ketika memandu di zon sekolah yang disifatkan sebagai kawasan paling rapuh, khususnya ketika waktu murid datang dan pulang dari sekolah.
Menurut PHM, ramai kanak-kanak keluar dari pagar sekolah dengan fikiran hanya mahu pulang ke rumah tanpa menyedari risiko di sekeliling mereka.
“Ada anak yang keluar pagar sekolah dengan beg masih di bahu. Dalam kepala dia mungkin cuma fikir nak balik rumah, nak makan, nak buka kasut, nak cerita apa yang berlaku di sekolah hari itu.
“Tapi di zon sekolah, satu saat leka boleh jadi penamat kepada satu nyawa,” katanya.
PHM berkata, orang ramai sering menganggap kawasan hadapan sekolah sebagai lokasi biasa untuk berhenti seketika, mengundur kenderaan atau menurunkan anak secara tergesa-gesa kerana mengejar masa.
Bagaimanapun, situasi itu sebenarnya berbahaya kerana kawasan sekolah sering dipenuhi pelbagai jenis kenderaan termasuk van, kereta dan motosikal selain kehadiran ibu bapa, penjaja, pengawal keselamatan serta murid yang bergerak serentak.
“Anak kecil rendah. Kadang-kadang mereka berada di ‘blind spot’ kenderaan. Mereka belum cukup matang untuk menilai kelajuan, jarak dan bahaya. Bila loceng balik berbunyi, kawasan sekolah jadi penuh dengan kenderaan yang bergerak serentak.
“Sebab itu zon sekolah bukan tempat untuk berebut jalan. Bukan tempat untuk marah-marah sebab kereta depan lambat. Bukan tempat untuk ‘kejap je’, bukan tempat untuk tekan minyak sebab mahu cepat keluar,” tegasnya.
Sehubungan itu, PHM menasihatkan semua pemandu supaya memperlahankan kenderaan walaupun keadaan kelihatan lengang, selain memastikan pemeriksaan dibuat di bahagian hadapan, belakang dan sisi sebelum bergerak.
“Kalau bawa van, kereta atau motosikal di kawasan sekolah, perlahanlah walaupun tiada orang nampak. Berhenti betul-betul, pandang kiri kanan. Periksa depan, belakang dan sisi kenderaan, jangan bergantung pada cermin sahaja.
“Anak orang bukan kon, bukan halangan jalan, bukan bayang-bayang kecil yang boleh kita abaikan. Mereka adalah dunia seseorang. Hari ini mungkin kita cuma terlambat lima minit, tapi ada keluarga yang mungkin kehilangan sepanjang hayat,” pesannya. – KOSMO! ONLINE














