JAKARTA – Seorang kakitangan kerajaan bertindak nekad membakar pejabatnya gara-gara berang tidak dinaikkan pangkat, lapor laman berita Detik semalam.
Suspek yang hanya dikenali sebagai AS, 43, membakar Pejabat Pengangkutan Wilayah Bangka Belitung.
“Suspek membakar pejabat Ketua Agensi Pengangkutan Wilayah kerana dia kecewa permintaannya untuk kenaikan pangkat dari 3B ke 3C tidak diluluskan oleh pihak atasan,” kata Ketua Sub-Direktorat III Direktorat Siasatan Jenayah Polis Wilayah Bangka Belitung, Komisioner Faisal Fatsey.
Menurut Faisal, insiden itu berlaku pada 29 April lalu, manakala pejabat itu musnah sepenuhnya.
Ujarnya, sebelum membakar pejabat, suspek pergi ke lokasi itu untuk menandatangani surat. Dia kembali sekitar pukul 6 petang (waktu tempatan) sambil membawa bahan api.
“Suspek kembali ke pejabat dengan membawa minyak petrol. Sebaik tiba, dia membuka tingkap pejabat ketua agensi lalu menyimbah minyak pada rangka kayu dan dinding pejabat,” kata Faisal.
Suspek kemudian merakam dan memuat naik video kebakaran itu ke platform media sosialnya. Dia melarikan diri ke rumah saudaranya sebelum dicekup.
Sepasukan anggota bomba tiba di tempat kejadian sebelum api berjaya dipadam selepas sejam. – AGENSI














