fbpx
MOHD. RAFFI menunjukkan objek yang didakwanya muntah paus di rumahnya di Kampung Gong Cengal, Kemasik, Kemaman semalam.

‘Bau harum macam muntah ikan paus’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMAMAN – Seorang nelayan mendakwa menemui objek menyerupai ketulan lilin disyaki muntah paus sewaktu mencandat sotong di perairan Kemasik, dekat sini Khamis lalu.

Mohd. Raffi Yusoff, 58, mendakwa menemui objek dikatakan bernilai tinggi itu terapung pada kedudukan 7.41 kilo­meter dari perairan Kuala Kemasik pada pukul 6 petang.

“Saya ternampak objek putih yang agak besar terapung di permukaan laut sewaktu dalam perjalanan untuk mencandat sotong.

“Mulanya ingatkan ia sekadar pelampung atau gabus namun apabila didekati rupanya lebih menyerupai ketulan lilin,” kata­nya di rumahnya di Kampung Gong Cengal, Kemasik semalam.

Ujarnya, objek itu agak lembut dan berbau harum apabila dipotong.

Katanya, sebaik tiba di rumah, isteri, Zuliza Harun, 39, yang di­ceritakan mengenai penemuan tersebut membantu membuat carian di internet.

“Saya bersedia menghantar sampel objek ini ke makmal Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk diuji kesahihannya, kalau benar ia muntah ikan paus, saya anggap ia rezeki Allah dan bersedia menjualnya,” katanya.

Pada 15 Februari lalu, ­Kosmo! melaporkan, nilai muntah paus atau ambergris mencecah RM645,000 sekilogram membuatkan ramai bercita-cita menjadi jutawan jika terjumpa objek berharga itu di tepi pantai.

Ambergris dihasilkan paus sperma digunakan dalam industri minyak wangi bagi membuatkan tahan lebih lama dan penyedap perisa dalam kopi serta telur.

Ada yang tidak kisah mengeluar modal antara RM550 hingga RM800 untuk melakukan ujian makmal setiap sampel bagi mendapatkan sijil pengesahan ambergris supaya mudah dijual.

Impian menjadi jutawan segera sehingga kini masih gagal apabila ujian mengesahkan tiada satu pun objek itu disahkan muntah paus, sebaliknya sisa lilin, minyak masak beku atau bahan maritim lain.

Pensyarah Kanan Program ­Geosains Marin UMT, Prof. Madya Dr. Hazrizal Shaari berkata, pihaknya menerima lebih 300 sampel dihantar penduduk tempatan, Indonesia dan Thailand sejak lima tahun lalu.

“Setakat ini, tiada satu pun sampel dihantar itu disahkan sebagai ambergris sebaliknya hanyalah sisa lilin, minyak masak beku atau pelbagai bahan ma­ritim lain,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN