JELEBU – Kolam buatan di Taman Eko Rimba Jeram Toi, di sini, adalah sedalam 1.5 meter selepas kemusnahan akibat banjir besar lebih empat tahun lalu.
Pengarah Perhutanan Negeri Sembilan, Ts. Mohd Yussainy Md Yusop berkata, kedalaman berkenaan adalah berisiko kepada kanak-kanak serta memerlukan penggunaan jaket keselamatan (life jacket) bagi membolehkan orang ramai menikmati aktiviti air berkenaan.
“Kita sudah pun menyediakan papan amaran mengenai kedalaman air di kolam buatan tersebut. Ditambahkan lagi dengan faktor hujan dan terdedah dengan kepala air. Mungkin selepas ini kita akan usahakan perkhidmatan sewaan jaket keselamatan di lokasi tersebut bagi mengelakkan kejadian meragut nyawa seperti ini berulang kembali,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Beliau berkata demikian susulan kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jelebu selepas ditemukan pengunjung di dasar kolam buatan.
Sebelum ini, Jeram Toi dibuka semula pada 29 Ogos tahun lalu selepas ditutup lebih empat tahun susulan 90 peratus kemudahan serta lokasi kejadian musnah akibat banjir besar pada tahun 2021.
Ujar Mohd Yussainy, Jeram Toi buat masa ini tidak ditutup susulan kejadian meragut nyawa berkenaan, namun, pihaknya bersedia sekiranya diarah oleh pihak berkuasa untuk tujuan siasatan. – KOSMO! ONLINE














