JEREZ – Pengurus pasukan Yamaha, Massimo Meregalli mengakui pembangunan jentera enjin V4 bagi saingan musim ini ternyata jauh lebih mencabar daripada jangkaan awal pasukan itu.
Meregalli menjelaskan bahawa Yamaha sudah menjangkakan proses peralihan daripada enjin inline-four kepada V4 bukanlah satu tugas mudah, namun realiti yang dihadapi di litar ketika ini jauh lebih sukar.
“Memang kami tahu ia tidak akan mudah, tetapi saya akui saya menjangkakan ia akan menjadi sedikit lebih mudah,” katanya.
Pada musim 2026 menyaksikan buat pertama kalinya dalam era moden, Yamaha menggunakan teknologi enjin V4 sebagai langkah strategik untuk merapatkan jurang prestasi dengan pasukan-pasukan pesaing lain terutama seteru utama mereka iaitu Ducati.
Bagaimanapun, permulaan musim ternyata tidak memihak kepada gergasi Jepun itu apabila sekadar mengutip 14 mata selepas empat pusingan pertama, jauh merosot berbanding 42 mata yang diraih dalam tempoh sama musim lalu.
Kemerosotan prestasi itu turut memberi kesan besar kepada struktur pasukan apabila pelumba utama, Fabio Quartararo mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan dan menyertai Repsol Honda Team bagi saingan musim depan.
Kekecewaan Quartararo jelas terpancar pada Grand Prix (GP) Sepanyol apabila dia sekadar menamatkan perlumbaan kira-kira 30 saat di belakang pemenang, sekali gus menyuarakan kebimbangan terhadap tahap kemajuan jentera tersebut.
Mengulas lanjut, Meregalli menyifatkan pasukan kini berdepan dengan beberapa cabaran luar jangka yang sedikit sebanyak merencatkan proses pembangunan jentera.
“Kami masih percaya keputusan yang lebih baik akan hadir pada separuh kedua musim nanti,” katanya yang tetap optimis dengan potensi jangka panjang projek berkenaan. -AGENSI














