AUSTIN – Pelumba Aprilia Racing, Jorge Martin melihat tempoh rehat panjang saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) sebagai peluang terbaik untuk kembali ke tahap terbaik fizikalnya, meskipun ia hadir ketika pasukannya sedang berada di puncak prestasi.
Selepas mendominasi tiga pusingan awal musim 2026, kalendar perlumbaan yang terganggu susulan penangguhan Grand Prix (GP) Qatar memberi ruang kepada pelumba untuk ‘bernafas’, termasuk Martin yang masih dalam proses pemulihan kecederaan.
GP Sepanyol di Litar Jerez akan berlangsung pada 26 April sebelum saingan akan berehat lebih kurang dua minggu sebelum ia bakal bersambung pada 10 Mei nanti di GP Perancis.
Menurut Martin, tempoh rehat itu datang tepat pada masanya kerana tubuhnya kini berada di had maksimum selepas mengharungi jadual padat sejak awal musim.
“Rehat ini sememangnya akan membantu keadaan fizikal saya. Setiap kali saya menolak badan ke had maksimum dan kemudian berehat, saya akan kembali dengan tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Martin mengakui dia kini perlu mengurus tenaga dengan lebih bijak, terutama ketika beraksi dalam perlumbaan kompetitif yang menuntut daya tahan tinggi.
“Sekarang saya berada hampir pada had fizikal. Saya perlukan sedikit rehat dan perlu bijak mengurus kekuatan badan, fokus utama adalah menamatkan perlumbaan dengan baik,” ujarnya.
Meskipun belum berada pada tahap terbaik, pelumba Sepanyol itu tetap menyerlah apabila meraih kemenangan sulung Sprint bersama jentera RS-GP sebelum menamatkan perlumbaan utama di tempat kedua di belakang rakan sepasukan, Marco Bezzecchi.
Keputusan tersebut menyaksikan Martin hanya ketinggalan empat mata di belakang Bezzecchi dalam kedudukan keseluruhan, sekali gus meletakkan Aprilia sebagai pencabar utama kejuaraan musim ini. – AGENSI














