GOMBAK – Seorang lelaki warga Bangladesh cedera selepas dipercayai terjatuh ketika mandi di laluan Air Terjun Taman Eco Rimba Rawang, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 10.46 pagi.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer.
Menurut Komander Operasi, mangsa lelaki warga Bangladesh itu dipercayai terjatuh semasa mandi di laluan air terjun berketinggian anggaran 50 meter.
“Mangsa berada dalam keadaan sedar namun mengalami kecederaan pada bahagian kepala, pinggang, belakang badan dan kaki.
“Pasukan bomba berjaya membawa turun mangsa sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Selayang bagi mendapatkan rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE














