fbpx
Kemalangan membabitkan Proton Preve dan BMW dalam kejadian di Lebuh Raya NKVE, malam tadi.

Suspek lari pemeriksaan, rempuh BMW di lampu isyarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Cubaan melarikan diri daripada pemeriksaan polis membawa padah apabila sebuah kereta jenis Proton Preve terlibat kemalangan sebelum merempuh sebuah BMW di persimpangan lampu isyarat di Subang Jaya, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.05 malam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima laporan melibatkan kereta peronda polis dan kenderaan suspek di Lebuh Raya NKVE berhampiran susur keluar Plaza Tol Subang menghala ke Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, suspek bertindak memandu secara berbahaya sehingga memasuki persimpangan Subang Jaya sebelum melanggar sebuah motokar BMW berwarna hitam di Persiaran Tujuan.

“Suspek bagaimanapun berjaya ditahan di lokasi kejadian selepas kenderaan dinaiki diberhentikan pihak polis.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemui 17 paket lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah dengan anggaran berat 16 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek pertama merupakan lelaki tempatan yang mempunyai 21 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala suspek kedua wanita warga asing tanpa sebarang rekod lampau.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif methamphetamine, manakala suspek wanita negatif dadah,” ujarnya.

Susulan itu, kedua-dua suspek telah direman selama tiga hari sehingga 4 Mei 2026 bagi membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 12(2) dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN