HULU TERENGGANU – Pemergian penderma organ, Allahyarham Muhammad Syukri Bazli, 31, pada minggu lalu menjadi titik tolak kepada keluarganya untuk mengambil inisiatif meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung kepentingan pendermaan organ.
Bapanya, Bazli Yahya, 62, berkata, mereka sekeluarga mula melakukan kempen kesedaran secara kecil-kecilan termasuk mencetak pelekat pada kenderaan jenis Proton Satria milik arwah sebagai medium menyampaikan mesej pendermaan organ kepada orang ramai.
Menurutnya, usaha yang baru bermula sejak beberapa hari lalu tersebut dianggap tanggungjawab sosial keluarganya bagi meneruskan legasi arwah dalam pendermaan organ.
“Kita buat pelekat di kereta arwah sebagai kempen, mudah-mudahan orang nampak dan timbul kesedaran untuk menderma organ.
“Kalau boleh kita mahu ajak lebih ramai tampil. Paling tidak, tahu prosedur mendaftar sebagai penderma organ,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Peroh, Ajil, di sini semalam.
Bazli berkata, idea tersebut tercetus selepas menerima penerangan pegawai perubatan Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu berhubung pendermaan organ sewaktu kematian Syukri.
“Baru kami sedar masih ramai yang tidak tahu tentang kepentingan derma organ. Sebahagian keluarga tidak benarkan biarpun si mati sewaktu hayatnya sudah berikrar.
“Harap usaha kecil kami ini, sedikit sebanyak dapat beri pendedahan kepada masyarakat,” katanya.
Bazli berkata, usaha murni mereka itu mula menampakkan hasilnya apabila beberapa individu terutama golongan muda menunjukkan minat untuk mendaftar sebagai penderma organ.
Dalam pada itu, beliau berkata, kenderaan milik arwah yang digunakan dalam kempen derma organ tersebut tidak akan dijual kerana mempunyai nilai sentimental tinggi.
“Kereta ini arwah beli hasil titik peluh sendiri dan banyak membantu dia mencari rezeki untuk keluarga malah, dia juga pengsan dalam kereta ini pada hari kejadian.
“Kami sepakat kereta ini akan terus disimpan,” ujarnya.














