fbpx
Anggota bomba mengangkat mangsa yang ditemui lemas di Kuah Tiri hari ini.

Remaja 13 tahun lemas ketika mandi kolam bersama rakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MIRI – Kegembiraan lapan sekawan mandi di sebuah kawasan kolam di Kuah Tiri bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas dalam kejadian di Lorong Desa Senadin 2C-1, di sini, hari ini.

Mangsa, Jackson anak Mara, 13, disahkan meninggal dunia selepas dipercayai hilang ketika mandi bersama tujuh rakannya.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.04 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong dikejarkan ke lokasi.

“Jentera bomba tiba di lokasi dan mendapati mangsa dipercayai telah lemas ketika mandi bersama rakan-rakannya.

“Kesemua tujuh rakan mangsa dilaporkan selamat, namun mangsa hilang di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilancarkan menggunakan teknik pencarian permukaan di sekitar kawasan kolam berkenaan.

“Mangsa akhirnya ditemui pada pukul 12.15 tengah hari di dasar kolam dengan anggaran kedalaman kira-kira 3.05 meter.

“Pasukan bomba bertindak mengangkat mangsa ke permukaan dan memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR),” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi melibatkan seramai lapan anggota bomba dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), selain turut dibantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN