SEREMBAN – Kerajaan minoriti Negeri Sembilan akan diteruskan buat masa ini sehingga keputusan baharu dibuat.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun memberitahu, beliau telah menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan baginda menasihatkan supaya Mesyuarat Mingguan Exco (MMK) diadakan seperti biasa bagi menyelesaikan masalah rakyat sedia kala supaya tidak terganggu dan negeri harus bergerak ke hadapan.
Bagaimanapun, katanya, beliau akur kepada proses perundangan serta bidang kuasa Tuanku dalam menentukan kedudukan kerajaan negeri.
“Ya, saya serahkan kepada perundangan, kuasa Tuanku. Kalau tiba masa baginda memutuskan kerajaan yang ada pada hari ini setakat ini sahaja, maka begitulah keputusannya.
“Namun, saya telah diminta oleh Presiden parti merangkap Perdana Menteri untuk meneruskan pentadbiran sehingga satu masa yang sesuai,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE














