JAKARTA – Beberapa penduduk Banyumas wilayah Jawa Tengah menjadi mangsa kegiatan penipuan ajaran sesat seorang lelaki yang menggelar dirinya ‘Sultan Nusantara’ sehingga kerugian hampir 1 bilion rupiah (RM229,000), lapor laman berita Detik.
Peguam, Djoko Susanto berkata, anak guamnya dijemput untuk menghadiri sesi pengajian agama oleh seorang individu dikenali sebagai W.
Mangsa merupakan penduduk Kampung Arcawinangun, daerah Purwokerto Timur pada Oktober hingga November 2025.
“Anak guam saya menghadiri pengajian agama kira-kira enam bulan lalu. Dari situ, dia mula ‘ditawarkan’ pelbagai ajaran sesat,” kata Djoko.
Pengikut Sultan Nusantara turut diajar larangan yang dianggap tidak masuk akal termasuk larangan memakan haiwan tertentu seperti belut atau ikan keli, dilarang menerima vaksin, pergi ke hospital atau menderma darah.
“Lelaki juga dikehendaki memakai emas kerana didakwa akan menghangatkan aura mereka. Jadi, ajaran itu memang pelik,” kata Djoko.
Aditio yang merupakan salah seorang mangsa pula berkata, dia menyertai kumpulan itu pada September 2025 selepas tertarik dengan sikap sopan pelaku.
Namun, lama-kelamaan, katanya, dia mula merasakan sesuatu yang pelik tentang ajaran tersebut.
“Ia mula menyimpang, malah terdapat arahan untuk melawan ibu bapa jika mereka dianggap murtad,” katanya.
Kegiatan itu dilaporkan berlaku di daerah Purwokerto Timur, manakala pusat aktivitinya dipercayai di kawasan Pabuaran, Purwokerto Utara.
Sementara itu, Ketua Polis Banyumas, Komisioner Kanan Petrus Silalahi mengesahkan laporan itu dan menyatakan pihaknya mula menyoal siasat saksi semalam.
“Ya, memang benar, kami menerima aduan mengenai perkara ini pada Sabtu dan akan menyoal siasat saksi hari ini (semalam),” katanya. – AGENSI














