SHAH ALAM – Kegiatan dua wanita termasuk seorang dalang sindiket pengedaran bunga ganja ke luar negara tumpas selepas mereka ditahan dalam operasi di negeri ini dan Negeri Sembilan baru-baru ini.
Suspek berusia 34 dan 24 tahun itu masing-masing diberkas pada 21 hingga 23 April lalu melibatkan rampasan dadah berjumlah 183.7 kilogram (kg) bernilai RM14.7 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati suspek utama warga tempatan dipercayai aktif mengedar dadah sejak tahun lalu.
Katanya, tangkapan dibuat di Mambau sebelum membawa polis ke sebuah rumah di Bandar Sri Sendayan, Seremban yang dijadikan stor menyimpan dadah.
Pemeriksaan di dalam rumah itu menjumpai 18 guni berisi 289 bungkusan plastik bunga ganja seberat 153.7kg.
“Siasatan mendapati suspek yang bujang tidak mempunyai rekod lampau. Dia dipercayai salah seorang dalang pengedaran dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Jelas beliau, seorang lagi suspek wanita asing pula ditahan ketika menggunakan penerbangan transit di Malaysia sebelum berlepas ke sebuah negara di benua Eropah.
Suspek ditahan selepas pihak berkuasa mendapati terdapat kandungan mencurigakan dalam dua bagasi miliknya sewaktu melalui mesin pengimbas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 60 bungkusan plastik bunga ganja seberat 30kg. Wanita itu bekerja sebagai pembantu restoran di negaranya dan dipercayai ditawarkan upah lumayan oleh sindiket termasuk kos perjalanan ke luar negara,” ujarnya.
Tambahnya, rampasan dadah berkualiti tinggi itu menunjukkan kewujudan sindiket terancang yang aktif di peringkat antarabangsa. Bagaimanapun, beliau menegaskan kedua-dua suspek itu tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.
Polis turut menyita sebuah kereta Honda City, motosikal VMoto XDV250 serta wang tunai RM51,500. Kedua-dua suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE














