PERANAN sebagai pemain senior bukan sekadar status buat gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, sebaliknya mereka membuktikan nilai sebenar kepimpinan apabila tampil sebagai pemacu kebangkitan Malaysia dalam aksi pembukaan Piala Thomas, kelmarin.
Turun ketika pasukan berada dalam tekanan selepas ketinggalan mata awal, pasangan itu menyumbang mata penting untuk menghidupkan semula momentum, sekali gus menjadi titik tolak kepada kemenangan 3-2 ke atas England.
Aaron menjelaskan, sebagai kapten dan pemain berpengalaman, mereka sedar tanggungjawab besar yang perlu digalas setiap kali diturunkan ke gelanggang.
“Saya rasa kami telah memberikan yang terbaik untuk pasukan. Sebagai pemain senior dan kapten, kami perlu memikul tanggungjawab untuk menyumbang mata kepada pasukan,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Menurut Wooi Yik, situasi ketinggalan atau mendahului memberi dimensi berbeza kepada pendekatan permainan, justeru keupayaan menyesuaikan strategi menjadi kunci utama.
“Apabila ketinggalan, corak permainan pasti berbeza. Kami perlu merancang strategi dengan baik dan kekal fokus demi mendapatkan mata untuk pasukan. Itu yang menjadi kunci hari ini,” jelasnya.
Mengulas tekanan ketika berdepan detik genting, Aaron mengakui mereka tidak terlalu terkesan, sebaliknya menganggap ia sebahagian daripada cabaran dalam kejohanan berpasukan.
Dalam masa sama, Wooi Yik menegaskan setiap mata dalam acara berpasukan memberi impak besar terhadap keyakinan keseluruhan pasukan, terutama apabila berjaya bangkit daripada ketinggalan.














