MINAT terhadap langit malam bukan sekadar terhenti pada aktiviti mencerap bintang, malah mampu berkembang menjadi satu bentuk ekspresi seni yang mendalam dan penuh makna.
Bagi Nurul Syahirah Nazarudin, seorang pelukis angkasa profesional, keindahan kosmos menjadi sumber inspirasi utama dalam penghasilan karya seni yang unik.
Membesar di Kampung Sungai Sok, Kuala Krai, Kelantan yang merupakan kawasan dengan langit gelap jauh daripada pencemaran cahaya membuatkan minatnya terhadap astronomi berputik.
Pengalaman membesar di bawah langit yang dipenuhi bintang memberi ruang kepadanya untuk menghayati keindahan alam semesta secara langsung.
“Saya mula meminati aktiviti stargazing atau mencerap bintang sewaktu berumur tujuh tahun.
“Saya sering melawat perpustakaan sekolah untuk membaca buku-buku tentang astronomi dan eksplorasi angkasa. Hobi ini mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa saya.
“Waktu itu ayah selalu membawa pulang surat khabar dan majalah tentang angkasa, dari situ saya mengikuti perkembangan terkini tentang ilmu astronomi,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.
Sehubungan itu, wanita berusia 31 tahun ini terkenal sebagai pelukis angkasa yang mengetengahkan gaya Cosmic Impressionism iaitu satu pendekatan interpretasi peribadi dan emosi terhadap alam semesta berbanding gambaran saintifik secara literal.
“Saya menterjemahkan keindahan langit malam dan objek angkasa menggunakan pelbagai medium seperti cat minyak, akrilik, warna air dan pastel minyak.
“Artis tidak semestinya melukis objek astronomi seperti yang dilihat melalui teleskop atau data sains semata-mata tetapi menzahirkan rasa kagum, keterhubungan, keinsafan dan keajaiban kosmos seperti yang dirasai oleh minda serta jiwa manusia,” katanya.
Tempoh menyiapkan sesebuah lukisan pula bergantung kepada tahap perincian yang boleh mengambil masa seawal satu hari sehingga enam bulan sekiranya tidak sibuk dengan sebarang urusan lain. Proses ini memerlukan ketelitian serta kesabaran tinggi, apatah lagi apabila dia perlu menyeimbangkan komitmen sebagai guru bahasa Inggeris dan Pendidikan Seni Visual di Sekolah Kebangsaan Infant Jesus Convent, Johor Bahru.
Bagi menghidupkan keindahan galaksi dalam lukisan, aktiviti mencerap bintang menjadi asas kepada pembikinan karya seni ini yang juga dilihat satu bentuk rawatan emosi.
“Ia seiring inisiatif Kesatuan Astronomi Antarabangsa untuk kesihatan mental bahawa mencerap bintang merupakan aktiviti healing yang dapat meningkatkan kesejahteraan mental individu.
“Menjadikan keluasan alam semesta sebagai sumber inspirasi, aktiviti mencerap bintang bukan sahaja membangkitkan rasa kagum tetapi boleh menjadi lebih reflektif dan tenang bersama fikiran sendiri sambil ditemani pemandangan langit malam,” katanya.
Karya yang dihasilkan bukan sahaja untuk tatapan estetika tetapi pada masa sama dijadikan bahan pembelajaran dalam pameran seni angkasa.
Antaranya termasuk penyertaan dalam Kembara Angkasa: Cosmic Voyage iaitu sebuah pameran astrofotografi dan seni angkasa yang berlangsung di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang berlangsung pada 8 Disember 2025 hingga 28 Februari lalu.
Melalui platform sebegini, dia berharap lebih ramai masyarakat dapat mendekati ilmu astronomi dengan cara yang lebih santai dan berinspirasi.














