“KALI terakhir ditatarias cantik begini rasanya sudah lama, tujuh tahun lalu,” itu kata-kata yang keluar dari bibirnya sepanjang disolek Feiruz Sohor sebelum menadah wajah dibidik sebagai penghias HibGlam minggu ini.
Pada usia 37 tahun, Azar Azmi menjadi sepotong nama yang tiba-tiba diperkatakan seluruh negara. Semuanya selepas dia ditahan reman sebelum dibebaskan sebagai saksi polis atas dakwaan penipuan sejumlah wang disyaki dilakukan suami sendiri.
Ketepikan seketika kisah mahkamah yang mungkin akan makan tahun untuk selesai, bukan itu yang mahu dikupas saat pertemuan eksklusif ini berlangsung tempoh hari.
Nama meledak selepas muncul dalam siaran langsung Datuk Aliff Syukri sehingga menerima hadiah tunai berjumlah RM40,000 daripada usahawan terbabit. Akui Azar, siaran langsung tersebut menjadi titik permulaan baharu, sekali gus asbab banyak pintu rezeki lain terbuka buatnya sehingga hari ini.

Dilahirkan semula
Mengumpul semula semangat yang hilang bukan perkara mudah bahkan akui Azar, dia tidak pernah terfikir kehidupannya akan menjadi serumit sekarang.
“Siaran langsung tersebut menjadi pemula terbukanya banyak pintu rezeki lain kepada saya sekarang ini.
“Terlalu banyak rezeki hadir, termasuk yang saya sendiri tak sangka sebab sebelum ini asyik fikir perkara negatif masyarakat sahaja.
“Tidak sangka ramai yang masih boleh terima kehadiran saya walaupun ramai juga lemparkan perkara negatif. Dengan semangat yang orang titipkan, saya perlahan-lahan bangkit daripada dunia serba gelap sebelum ini,” katanya.
Tiada niat mengemis bantuan, anak kelahiran Negeri Sembilan itu menjelaskan, awalnya sekadar hanya mahu menjana pendapatan menerusi TikTok.
“Saya tidak pernah menagih simpati ramai, kalau ikut perancangan, saya cuma nak promosi produk dalam TikTok sahaja.
“Cuma keajaiban muncul, Tuhan hadirkan ramai individu untuk bantu saya,” tuturnya.
Dikatakan mengejar populariti untuk menjana lebih banyak pendapatan, pemilik nama penuh Siti Azar Ameerah Azmi itu menafikan dakwaan tersebut.
Dia bertegas, tidak pernah mengharapkan segala perhatian yang diraih ketika ini, namun menganggap semua itu sebagai rezeki dari Tuhan untuk dua anaknya.
“Semua yang saya lakukan ketika ini lebih kepada rezeki anak, dapat beli barang keperluan mereka pun sudah mencukupi.
“Semua yang kalian nampak seperti peluang kerja dan siaran langsung TikTok, semua itu kerja keras pengurus saya,” kongsinya.
Nasihat yang ‘pedas’ daripada pengurusnya menjadi sebab utama matanya kembali, celik sekali gus menyalakan semangatnya untuk memulakan kehidupan baharu.
“Dia sedarkan saya supaya jangan meratapi masa silam dan usah jadi bodoh nak terus terduduk disebabkan kisah hitam sebab duit tak akan datang sendiri, semuanya perlukan usaha.
“Itu yang buka mata saya. Ketika ini saya bukan ‘restart’ tetapi dilahirkan semula dengan karakter berbeza,” ujarnya.

Tatarias: Nana Chah (instagram @nana.chahh) | Tajaan lokasi: Imperial KLCC by Opus Hospitality
(Instagram/Tiktok StayswithOpus)
Introvert
Bercerita lanjut mengenai kelahiran semula dirinya, dia mengakui pengalamn hitam tersebut membuatkan dirinya hilang segala keyakinan dimiliki suatu ketika dahulu.
Keyakinan, itu yang terbit dari bibirnya saat dilayangkan pertanyaan, sebenarnya apa perkara yang lenyap daripada dirinya ketika ini.
“Kalau tidak selesa dengan keadaan sekeliling atau di situasi yang asing, saya akan menjadi individu introvert.
“Dahulu orang tengok saya sebagai extrovert happy go lucky dan kelakar tetapi semua itu sudah hilang,” katanya.
Buat masa ini, Azar juga selesa memakai pelitup muka dan kaca mata hitam bagi mengelak berlaku sebarang interaksi dengan orang tak dikenali.
“Saya tak yakin untuk bertentang mata dengan orang, bukan Azar Azmi yang dahulu. Sekarang lebih selesa kalau orang tak kenal pun.
“Saya cuma mahu jalani kehidupan biasa dengan anak-anak, seperti keluar gembirakan anak-anak atau pergi ‘healing’ seperti berkhemah.
“Saya nak mereka ada kehidupan yang sepatutnya dimiliki pada zaman kanak-kanak dan bukannya dibebani atau disekat disebabkan masalah saya,” ujarnya yang popular menerusi drama Nur 2 ketika awal kemunculan.

Anak
Bercerita tentang anak, bekas peserta Dewi Remaja 2009/2010 itu tidak lagi mahu berpisah seperti yang berlaku ketika ditahan reman.
“Sejak mereka lahir, kami tak pernah berpisah dan memang saya menjaga mereka.
“Ayat pertama saya cakap ketika bertemu mereka selepas dibebaskan adalah rindu dan minta maaf.
“Mereka tak sepatutnya rasa semua ini. Saya juga risau, banyak berfikir bagaimana kalau satu hari nanti mereka terbaca isu melibatkan ibu bapa sendiri,” jelasnya.
Seboleh-boleh juga, Azar tidak mahu disoal anak sendiri mengenai situasi yang berlaku kepadanya.
“Saya belum bersedia untuk hadap situasi tersebut, nak dengar soalan yang terlalu berat untuk dijawab.
“Nak jawab apa? Mummylah orang yang dikehendaki, direman’ takkan nak kena cakap begitu?” katanya sebak.
Semua kekacauan yang berlaku sebelum ini juga membiakkan rasa bersalah terhadap dua anaknya.
“Setiap hari saya minta maaf dengan mereka sebelum tidur. Sebagai ibu, saya macam tak dapat beri kehidupan terbaik dan sepatutnya.
“Setiap kali tengok wajah mereka, saya selalu cakap ‘mummy minta maaf’,” ujarnya yang pernah menetap di sebuah madrasah sebelum ditahan reman bersama suaminya.
Bercerita mengenai perancangan hidup pada hari mendatang, dia hanya akan melalui kehidupan mengikut aturan yang Tuhan tetapkan tanpa sebarang penyesalan. Dia juga tidak menyesal apabila menyepi daripada dunia hiburan sebelum ini.
“Kalau orang tanya sama ada menyesal, jawapannya tidak, sebab itu pilihan sendiri.
“Saya yang menyokong dan menggerakkan pilihan tersebut, jadi tidak boleh nak salahkan sesiapa,” katanya.
Jauh dalam sudut hati, dia mengakui merindui zaman kemuncaknya sebagai seorang pelakon.
“Sejujurnya memang sangat rindu kehidupan sebelum menghilangkan diri. Kerjaya lakonan yang dibina atas usaha sendiri.
“Hilang dari radar dunia hiburan pun sebab menghormati permintaan keluarga mentua tetapi tak pernah keluarkan kenyataan sudah berhenti atau sebagainya.
“Cuma apa yang boleh dikongsi, kehidupan selepas kahwin adalah satu dunia yang sangat berbeza, sangat kontra,” ujarnya yang enggan mengulas mengenai kes mahkamah melibatkan suaminya ketika ini.
Berharap segala yang buruk segera menjauh, dia memberitahu setiap titisan air mata yang mengalir sebenarnya ‘menelan’ terlalu banyak energi.
“Penat nak menangis, sebab semua itu telan energi. Penatlah nak hadap atau fikir tentang kehidupan sebelum dan ketika ini.
“Letih nak bayangkan perkara bakal terjadi atau rahsia lain yang saya pernah tahu sehingga buat saya rasa kehidupan sendiri tak normal maca orang lain.
“Tiada lain yang diharapkan selain semua masalah segera lenyap dan dapat jalani hidup dengan tenang walau hakikatnya tidak akan kembali sama seperti dahulu,” tutupnya.















