LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta harus segera keluar daripada gelaran ‘pakar harapan palsu’ dengan memastikan mata maksimum dalam baki lima perlawanan selepas ini.
The Gunners kini berpeluang untuk kembali merampas kedudukan di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL), namun syaratnya cukup berat iaitu perlu mengalahkan Newcastle United di gelanggang sendiri, tengah malam ini.
Tiada lagi kesilapan boleh dilakukan dan wajib untuk meraih kemenangan bagi terus menghidupkan peluang memburu gelaran dan mencabar Manchester City yang merampas kedudukan mereka.
Arteta menegaskan, motivasi pasukan tidak terjejas dan mereka berada dalam ‘mood’ keyakinan yang cukup tinggi untuk menjulang trofi EPL dan menamatkan penantian panjang.
“Ia seakan ‘liga’ baharu dan masih ada perlawanan yang kami kena hadapi. Kami tidak akan pernah berhenti dan sudah pasti sekali lagi kami akan buat sehabis baik,” katanya merujuk kepada persaingan dengan City.
Arsenal sebelum ini sudah pun merekodkan hatrik bergelar naib juara EPL selepas sering dipalit isu prestasi setiap kali saingan memasuki fasa terakhir musim menyebabkan Arteta diejek sebagai ‘pakar’ dalam memberikan harapan palsu buat para penyokong mereka..
Sebelum ini, Arsenal mengalami dua kekalahan berturut-turut termasuk tunduk 1-2 kepada Manchester City hingga menyaksikan The Citizens memperoleh kelebihan jaringan selepas kedua-duanya terikat 70 mata. – AGENSI














