PETALING JAYA – Bekalan plastik dalam negara setakat ini masih mencukupi untuk tempoh sekurang-kurangnya dua bulan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bekalan plastik global kini terjejas akibat gangguan kepada pengeluaran minyak dan gas serta ketidaktentuan di Selat Hormuz.
Menurutnya, ini kerana proses pembuatan plastik bergantung kepada bahan mentah seperti nafta, ammonia, ethylene dan propylene yang terhasil daripada minyak dan gas.
“Plastik adalah komponen asas dalam kehidupan harian termasuk pembungkusan makanan, barangan pengguna dan peralatan kesihatan.
“Kerajaan sedang mempergiat usaha mendapatkan sumber tambahan, memperluas kerjasama antarabangsa, serta mencari bahan mentah alternatif,” katanya menerusi Taklimat Mingguan Krisis Global Tenaga disiarkan secara langsung pada petang ini.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan juga telah memperoleh bekalan tambahan nafta dan resin dari China bagi menyokong sektor kesihatan.
“Kerajaan akan terus memastikan bekalan keperluan harian rakyat kekal terjamin,” katanya.
Fadillah berkata, dunia sedang memasuki gelombang kedua iaitu gangguan kepada bekalan barangan berasaskan minyak dan gas yang menyokong pelbagai sektor serta keperluan harian.
“Gelombang kedua ini dijangka berkembang secara berperingkat. Rakyat mungkin akan melihat pelarasan harga bagi barangan tertentu atau gangguan bekalan sementara dalam tempoh akan datang.
“Kerajaan akan terus mengurus perubahan ini dengan teliti supaya kehidupan rakyat kekal terpelihara dan kesannya dapat dikawal,” katanya. – KOSMO! ONLINE














