PETALING JAYA – Pelancong lelaki warga Bangladesh yang maut dalam kemalangan di Lebuh Raya MEX awal pagi semalam rupa-rupanya merupakan pencipta kandungan permainan video terkenal di platform YouTube.
Mangsa, Muzahid Millad, 22, dikenali sebagai pengendali saluran Advance Gaming yang memiliki lebih 792,000 pelanggan, sekali gus menjadikannya antara figura berpengaruh dalam komuniti permainan dalam talian di Asia Selatan.
Dalam kejadian itu, kenderaan e-hailing dinaiki mangsa bersama isterinya dipercayai dilanggar sebuah kenderaan lain ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Akibat pelanggaran tersebut, Muzahid disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isterinya, Nafisa Tabassum Adiba, 23, cedera dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Pasangan berkenaan difahamkan berasal dari Habiganj, Bangladesh dan berada di negara ini untuk bercuti selama seminggu.
Kematian mengejut Muzahid mencetuskan gelombang kesedihan dalam komuniti permainan digital, dengan tanda pagar seperti #JusticeForMuzahid dan #JusticeForAdvanceGaming tular di media sosial.
Menerusi satu hantaran di saluran YouTube miliknya, pihak pengurusan memaklumkan pemergian tersebut dengan nada penuh dukacita.
“Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa Advance Gaming atau Muzahid telah meninggal dunia pagi ini (semalam) susulan kemalangan di Malaysia.
“Jika ada kata-katanya yang pernah mengguris hati sesiapa, mohon dimaafkan. Doakan agar Allah mengurniakan syurga buatnya,” menurut kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE














