PETALING JAYA – Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap seorang pegawai tentera berpangkat Kapten yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan maut di Lebuh Raya Maju (MEX), awal pagi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini untuk proses permohonan reman.
“Pada pukul 10.45 pagi, perintah reman dibacakan di hadapan Majistret Guftan Nor Asyikin Murlikamal di bilik reman IPD Dang Wangi.
“Mahkamah membenarkan suspek direman selama lima hari bermula 24 April hingga 28 April,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Menurut beliau, jika sabit kesalahan, pertuduhan membunuh itu boleh membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan sekiranya hukuman mati tidak dikenakan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.38 pagi di Kilometer 1.9 lebuh raya berkenaan dari arah Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak, suspek yang memandu sebuah Ford Fiesta dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah Perodua Alza yang beroperasi sebagai kenderaan e-hailing.
Kemalangan itu mengorbankan seorang lelaki pencipta kandungan terkenal warga Bangladesh berusia 22 tahun yang mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang lagi penumpang wanita warga Bangladesh berusia 20 tahun cedera dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Turut cedera ialah pemandu e-hailing yang mengalami kecederaan di kepala serta seorang penumpang wanita berusia 36 tahun dalam Ford Fiesta berkenaan. Suspek pula hanya mengalami kecederaan ringan.
Siasatan awal mendapati kenderaan e-hailing itu membawa dua penumpang warga Bangladesh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ketika kejadian berlaku.
Hasil ujian pernafasan terhadap suspek menunjukkan bacaan alkohol melebihi had dibenarkan, manakala ujian air kencing didapati negatif dadah.
Sebelum ini, kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.
Polis kini menjalankan siasatan lanjut termasuk mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup di lokasi kejadian bagi membantu melengkapkan siasatan. – KOSMO! ONLINE














