fbpx
PEMILIHAN finalis Top 10 AJL40 menemukan lagu Cak Cak Cekuk nyanyian Wanie Kyrie, Ke Mana Ni (Kmy Kmo, Luca Sickta, Salammusik) dan Tiwikarma (K.O.I) benar-benar menyerlah dan berpotensi menjadi antara calon juara.

AJL40 cari lagu malar segar rentas zaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEGALA persoalan tentang lagu mana yang layak mara ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) sudah pun terjawab pada malam Sabtu lalu.

Kesemua karya yang dipilih hadir dengan identiti dan jiwa tersendiri, termasuk sentuhan daripada komposer-komposer baharu yang semakin berani mencorakkan warna muzik tempatan.

Antaranya Kamu milik Aina Abdul, Tangisan Seorang Pendosa (Marsha), Lemah (Dayang Nurfaizah), Lumangad Oku Dika (Ryenal Guntabid) dan Tak Adil (Aisha Retno).
Lima lagu lain, Cak Cak Cekuk (Wani Kayrie), Semacam Pandora (Hazama), Nur Cinta (Amir Masdi), Ke Mana Ni (Luca Sickta, Kmy Kmo dan Salammusik) serta Tiwikarma (K.O.I) yang dinilai beberapa juri profesional iaitu Datuk Acis, LY, Ad Samad, Siti Hajar dan Efry Arwis.

Menurut Acis selaku ketua juri, pemilihan 10 lagu yang layak ke pentas berprestij tersebut bukan satu keputusan mudah apabila perbezaan markah kesemua 20 lagu dipertandingkan sangat tipis.

“Kriteria yang kita bincangkan adalah perkara-perkara seperti komposisi, susunan muzik, produksi, lirik dan melodi. Namun, yang paling penting perbezaan markah semua 20 lagu dengan top 10 jaraknya sangat tipis.

“Ini satu persaingan yang sangat sengit. Jadi 10 lagu lolos memang rezeki.

“Memang akan ada orang yang tidak berpuas hati tapi inilah adat pertandingan dan yang terbaik kita boleh buat,” katanya ketika sidang media usai Anugerah Juara Lagu 40 Separuh Akhir (AJ40SA), baru-baru ini.

Tambahnya, pemilihan tidak bersandarkan kepada populariti semata-mata, sebaliknya menilai karya yang mampu kekal dalam ingatan merentas zaman.

“Kita tidak pilih lagu yang masuk dalam senarai top 10 sebab tular tapi kerana karya itu sangat berbeza.

“Kita nak juara lagu kali ini orang masih ingat walau sudah 20 tahun berlalu. Kalau tular sekejap sahaja, jadi kita cari lagu yang boleh jadi malar segar.

“Anda boleh ingat juara lagu 1987, 1988 dan 1989? Kita nak juara yang begitu, mana lagu menyerlah dan segar kami putuskan letak dalam Top 10,” tuturnya.

Jelasnya lagi, pemilihan Cak Cak Cekuk, Tiwikarma dan Ke Mana Ni adalah kerana kelainan yang ditampilkan, sekali gus memberi nafas segar dalam persaingan.

“Sebenarnya ada 30 lagu, ada pra-penjurian lagi dan kita kecilkan kepada 20.

“Cak Cak Cekuk, Ke Mana Ni dan Tiwikarma ada kelainan, betul-betul menyerlah dan sangat mudah untuk beri markah lebih sikit.

“Fokus kita nak cari juara, tak boleh cari juara yang sama melodinya. Itu sangat berbeza dan segar,” ujarnya lagi.

LAGU Cak Cak Cekuk bawa tuah kepada Wani apabila layak menyertai AJL buat julung kalinya selepas lama berharap.

Kemunculan sulung

Edisi je-40 AJL turut menyaksikan beberapa nama membuat kemunculan sulung iaitu Wani Kayrie dan Ryenal Guntabid. Wani atau nama lengkapnya Syazwani Abdullah, 26, percaya, harapan tinggi penonton terhadap persembahannya bakal menjadi cabaran utama.

“Bagi saya, kalau sebut tentang saingan mungkin lebih kepada konsep persembahan sebab orang tahu lagu ini rancak, mereka letak jangkaan persembahan mesti grand.

“Tapi itulah tekanan daripada orang yang melihat. Dari segi lagu, saya hanya berseronok sebab Cak Cak Cekuk lain sikit daripada orang lain.

“Sudah semestinya aspek persembahan saya kena buat sesuatu di luar kotak, insya-Allah. Selebihnya kena perbaiki vokal, walaupun lagu ini rancak bukan senang nak menyanyi,” luahnya.

Sementara itu, Reynald yang disebut-sebut sebagai calon kuat trofi Vokal Terbaik mengakui berdebar menerima pujian tersebut, namun terbuka dengan segala kemungkinan.

“Bertambah cemas pula kalau cakap saya pesaing vokal terbaik. Kalau itu rezeki, saya terima. Saya akan buat sehabis baik, menang kalah tidak mengapa. Yang penting saya tidak mengecewakan diri sendiri. Kalau tertulis vokal terbaik itu rezeki saya, sudah semestinya saya terima,” ujarnya.

SEBANYAK 10 lagu yang mara ke pentas final AJL40 memenuhi kriteria yang dicari barisan juri, terutama dari aspek kelainan dan mampu bertahan lama.

Kelainan AJL40

Sempena penganjuran edisi ke-40, pihak TV3 menjanjikan kelainan yang lebih segar dan luar biasa buat penonton.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Nini Yusof, pihaknya terbuka menerima idea dan cadangan penambahbaikan daripada penonton selain menekankan aspek keselamatan buat finalis.

“Memang selalu ada orang cakap ‘tak boleh macam itu’ tapi kami sangat terbuka mendengar idea-idea yang segar dan baharu untuk kita persembahkan.

“Kami selalunya takkan cakap tak boleh, cuma soal sama ada sesuai untuk penonton dan juga persembahan di atas pentas semasa berlangsung.

“Banyak benda yang perlu difikirkan, kita terpaksa juga meneliti aspek keselamatan, kena utamakan itu dahulu,” ujarnya.

Dia turut meluahkan rasa puas hati terhadap barisan finalis yang dipilih dan tidak sabar menyaksikan mereka berentap di pentas akhir yang dijadual berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil pada Ogos depan.

“AJL40 akan diadakan di Unifi Arena bulan Ogos nanti. Saya rasa daripada yang membuat persembahan dan sampailah yang terpilih top10, pihak TV3 amat senang hati dengan keputusan juri yang memilih karya komposer baru.

“Maknanya pihak produksi kena lebih kerja keras lagi sebab ada komposer serta penyanyi yang pertama kali muncul di pentas AJL. Banyak ‘homework’ yang perlu dilakukan tapi saya rasa amat gembira untuk edisi ke-40 ini.

“Bila saya dengar lagu itu sedap, tidak ada persoalan sama ada mereka layak atau tidak ke pentas AJL. Walaupun baru tapi saya rasa mereka mampu memberikan satu jangkaan berlainan,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN