TAPAH – Pencarian pendaki gunung, Jaslinda Saludin, 49, di Gunung Batu Putih oleh 22 Orang Asli dari Kampung Ampang Woh di sini akan dilaksanakan antara lima hingga enam hari bermula esok.
Penyelaras komuniti Orang Asli tersebut, Chew Ho Beng berkata, pencarian yang akan dilakukan oleh para pendaki berusia antara 20 hingga 60 tahun itu bermula seawal pukul 5 pagi esok.
“Mereka akan mendaki dari kampung berkenaan tanpa menggunakan laluan komersial iaitu yang biasa digunakan untuk ke Kem Sukaneka dan Gunung Rayu.
“Kesemua mereka yang berpengalaman itu akan melakukan pencarian mangsa di lokasi berkenaan antara lima hingga enam hari,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ho Beng berkata, pendaki-pendaki Orang Asli dari suku kaum Semai berkenaan akan melakukan persediaan terlebih dahulu sebelum memulakan pendakian pada awal pagi esok.
Katanya, persediaan dilakukan itu bergantung kepada kepercayaan dan agama masing-masing.
“Selepas itu mereka akan mencari Jaslinda di lokasi terbabit sebagaimana yang dikenal pasti oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak sebagai kawasan utama pencarian,” katanya.
Katanya, 22 pendaki dari komuniti Orang Asli berkenaan turut dibekalkan dengan kelengkapan dari pihak berwajib bagi membantu melicinkan usaha mereka mencari mangsa selama tempoh berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan Jaslinda kali terakhir dilihat Malim gunung pada pukul 7.30 pagi pada 24 Mei lalu ketika dia menyertai ekspedisi Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih.
Dia dilaporkan menyertai pendakian gunung itu bersama 13 individu lain dan dua malim gunung bermula pukul 2 pagi pada 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh. – KOSMO! ONLINE














