KUALA LUMPUR – Op Vape 1.0 yang dilaksanakan secara besar-besaran di seluruh negara berjaya membongkar kewujudan dadah sintetik berbahaya jenis furanyl fentanyl yang disyaki mula menembusi pasaran tempatan melalui kedai vape.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi yang berlangsung dari 13 hingga 17 April lalu melibatkan 1,177 pegawai dan anggota polis bersama 2,011 pegawai daripada pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, pihak berkuasa tempatan dan agensi lain.
“Operasi ini dijalankan serentak di seluruh negara dengan memfokuskan kepada pemeriksaan premis vape serta mengesan individu yang terlibat dalam pengedaran bahan terlarang.
“Hasilnya, sebanyak 1,670 premis diperiksa dengan 728 daripadanya didapati melanggar peraturan, manakala 20 tangkapan dibuat melibatkan pelbagai kesalahan di bawah undang-undang berkaitan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurut beliau, sebanyak 8,091 peranti vape, 5,257 katrij serta 19.67 kilogram (kg) dadah berjaya dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM4.6 juta.
“Antara rampasan utama ialah cecair furanyl fentanyl seberat 18.55 kg, selain cecair THC, serbuk MDMA dan air ketum. Kesemua rampasan ini mampu merosakkan seramai 48,050 individu,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak polis memaklumkan bahawa hasil daripada operasi berkenaan, terdapat penemuan bahan yang disyaki mengandungi dadah jenis furanyl fentanyl di pasaran tempatan.
Menurutnya, rampasan dibuat di sebuah premis yang menjual vape, namun siasatan masih dijalankan bagi menentukan sama ada bahan tersebut dijual secara terbuka atau hanya kepada pelanggan tertentu.
“Pihak polis percaya penjualan dilakukan secara terpilih, melibatkan pelanggan tetap dan bukan secara umum kepada semua pengguna.
“Siasatan awal mendapati bahan ini dipercayai dibawa masuk dari luar negara, berkemungkinan dari rantau Asia Tenggara dan bukan dihasilkan dalam negara. Bagaimanapun, harga jualan masih dalam siasatan dan bergantung kepada kandungan serta jumlah cecair dalam vape berkenaan,” katanya.
Tambah beliau, operasi ini dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi dan merupakan fasa permulaan, dengan Op Vape 2.0 dijangka menyusul bagi memperkukuh penguatkuasaan.
“Setakat ini, pihak polis tidak dapat mengesahkan wujudnya permintaan tinggi terhadap vape mengandungi dadah tersebut di Malaysia, namun terdapat bukti jelas bahawa sindiket sedang cuba memperkenalkan dan memasarkan produk berbahaya itu ke dalam pasaran tempatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa penggunaan furanyl fentanyl amat berbahaya kerana kesannya dianggarkan 50 hingga 100 kali lebih kuat berbanding morfin dan heroin.
“Di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Kanada, penggunaan fentanyl dikaitkan dengan peningkatan kes kematian akibat dos berlebihan.
“Di Malaysia, setakat ini belum ada kes kematian yang dikaitkan secara langsung, namun penemuan ini membimbangkan kerana ia menunjukkan bahan tersebut sudah mula memasuki pasaran,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE














