GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah bernilai RM271,400 selepas menahan dua lelaki tempatan dalam serbuan di sebuah rumah di daerah Timur Laut di sini, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, hasil pemeriksaan lanjut di kediaman yang dipercayai didiami kedua-dua suspek berusia 39 dan 66 tahun itu telah menemukan sejumlah dadah jenis Methylenedioxy-methamphetamine (MDMA), ketamin dan ganja.
Menurutnya, kesemua bahan terlarang itu ditemui dalam satu kotak berwarna coklat termasuk bungkusan yang dipercayai mengandungi serbuk dadah berperisa buah-buahan.
“Hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah ini telah bergiat aktif sejak awal Februari lalu bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 974 orang atau penggunaannya.
“Malah, saringan awal polis juga mendapati kedua-dua supek terbabit positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine, dan THC,” katanya di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, semakan rekod lampau mendapati masing-masing mempunyai lapan dan dua kes berkaitan dadah.
Nilai keseluruhan dadah dan sitaan harta iaitu kereta jenis Perodua Alza adalah berjumlah RM306,400.
Tambahnya, tangkapan telah direman selama tujuh hari bermula 14 hingga 20 April ini mengikut Seksyen 39B Kanun Keseksaan. -KOSMO! ONLINE














