PETALING JAYA – Perdana Menteri mengarahkan Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan Kemudahan Khas berjumlah RM5 bilion untuk disalurkan melalui sektor perbankan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan konflik Asia Barat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini melengkapi jaminan RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) yang diumumkan sebelum ini, menjadikan keseluruhan sokongan kewangan kepada PMKS kini mencecah RM10 bilion.
Perkara itu dinyatakan oleh beliau menerusi sesi libat urus bersama ketua-ketua pegawai eksekutif institusi perbankan yang berlangsung di BNM, Kuala Lumpur pada pagi tadi.
“Mengadakan sesi libat urus bagi menyelaras tindakan lebih tegas dan tersusun dalam membantu PMKS yang sedang berdepan tekanan ketara susulan krisis tenaga global serta konflik Asia Barat yang terus menjejaskan rantaian bekalan dunia.
“Walaupun asas ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kelewatan dalam menangani tekanan dihadapi sektor kritikal, khususnya PMKS yang menjadi tunjang ekonomi negara,” katanya pada hantaran di media sosial hari ini.
Anwar menegaskan bahawa, akses kepada kemudahan ini mesti diperluaskan secara adil dan menyeluruh, termasuk kepada PMKS baharu yang benar-benar memerlukan.
“Institusi perbankan tidak boleh mengambil pendekatan sempit, sebaliknya mesti memikul tanggungjawab sebagai rakan strategik dalam memastikan kelangsungan ekonomi domestik.
“Kerajaan Madani akan terus bertindak dengan ketegasan, disiplin dan keutamaan yang jelas untuk melindungi perniagaan tempatan, menjamin pekerjaan rakyat dan memastikan ekonomi negara kekal stabil serta berdaya tahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














