PENGIKTIRAFAN selaku Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2025 bukan alasan buat beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk terus berada di zon selesa, sebaliknya menjadi suntikan motivasi memburu lebih banyak kejayaan selepas ini.
Pasangan ranking No. 4 dunia itu mengakui penghormatan diterima di pentas ASN cukup bermakna buat mereka, namun tetap menganggap sokongan rakyat Malaysia sebagai faktor terbesar di sebalik pencapaian yang diraih setakat ini.
“Syukur hari ini boleh dapat anugerah ini. Sudah pasti ini bukan kejayaan saya dengan Tang Jie saja, ini kejayaan semua yang sokong kami termasuk keluarga, pasangan, jurulatih dan media,” kata Ee Wei.
Tang Jie pula menyifatkan anugerah tersebut sebagai pembakar semangat untuk mereka terus memperbaiki diri selain mahu menghadiahkan lebih banyak kejayaan kepada negara.
“Saya rasa tanpa sokongan Malaysia kepada kami, takkan ada hari ini. Jadi trofi ini bukan untuk saya dan keluarga saja, tetapi untuk rakyat Malaysia juga. Ini satu motivasi untuk kami terus beri yang terbaik tahun ini,” katanya.
Sebagai juara dunia, pasangan negara itu sedar cabaran selepas ini bakal menjadi lebih mencabar apabila harapan peminat serta tekanan untuk terus konsisten semakin meningkat.
Bagaimanapun, Ee Wei percaya setiap kemenangan dan kekalahan perlu dihadapi dengan matang sekiranya mahu kekal berada dalam kelompok beregu terbaik dunia.
“Selepas jadi juara dunia memang lebih banyak sasaran perlu dicapai dan orang pun mengharapkan lebih banyak keputusan daripada kami.
“Bagi kami, ‘past is past’. Kami gembira dengan pencapaian hari ini tetapi semua itu sudah berlalu dan sekarang kami kena fokus kepada masa depan,” katanya.
Sebagai rekod, Tang Jie-Ee Wei dijadual membuka kempen Malaysia Masters esok menentang pasangan Kanada, Jonathan Bing Tsan Lai-Crystal Lai dengan misi meneruskan momentum cemerlang selain memburu satu lagi kejayaan di laman sendiri.














